Seorang pengunjung mengimbas kod QR MySejahtera sebelum memasuki Bazar Ramadan Stadium di Kuantan pada 10 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

19 kes kematian, 7,739 kes harian Covid-19 direkodkan semalam

SHAH ALAM, 12 APRIL: Angka jangkitan harian Covid-19 terus berada di bawah paras 10,000 apabila 7,739 kes direkodkan semalam kata Ketua Pengarah Kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah pesakit yang sembuh juga meningkat apabila 19,049 kes direkodkan semalam menjadikan angka keseluruhan sembuh kepada 4,163,777 kes.

Katanya, 19 kes kematian dicatatkan semalam termasuk tiga kes kematian di luar hospital dan hanya dua kluster baharu direkodkan menjadikan jumlah kluster masih aktif setakat semalam kepada 126.

“Seramai 2,794 pesakit atau 2.1 peratus sedang dirawat di hospital dan daripada jumlah pesakit di unit rawatan rapi (ICU) sebanyak 72 kes tidak memerlukan bantuan pernafasan manakala 102 kes lagi memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dua negeri mencatatkan penggunaan katil kes kritikal atau ICU melebihi 50 peratus iaitu Putrajaya sebanyak 100 peratus dan Selangor sebanyak 52 peratus, manakala hanya Putrajaya mencatatkan penggunaan katil bukan ICU melebihi 50 peratus iaitu sebanyak 64 peratus.

Dr Noor Hisham berkata, pesakit kes kategori serius iaitu 3, 4 dan 5 juga kekal rendah iaitu 67 atau 0.87 peratus manakala kategori 1 (tanpa gejala) dan 2 (gejala ringan) adalah 7,672 kes atau 99.13 peratus.

“Daripada 427 kes yang dimasukkan ke hospital semalam, 187 kes atau 43.8 peratus membabitkan pesakit kategori 3, 4 dan 5 manakala 240 kes atau 56.2 peratus adalah kategori 1 dan 2.

“Pesakit kategori 1 dan 2 yang memerlukan kemasukan ke hospital adalah sebagai langkah berjaga-jaga kerana ia membabitkan kes berisiko tinggi,” katanya.

Berikut adalah pecahan pesakit mengikut kategori:

Kategori 1: 4,354 kes (56.26 peratus)
Kategori 2: 3,318 kes (42.87 peratus)
Kategori 3: 34 kes (0.44 peratus)
Kategori 4: 14 kes (0.18 peratus)
Kategori 5: 19 kes (0.25 peratus)

Sementara itu, Dr Noor Hisham menasihatkan individu yang belum menerima vaksin dan tidak pernah dijangkiti Covid-19 supaya segera mendaftar serta mendapatkan vaksin Covid-19 kerana mereka adalah kumpulan paling berisiko dijangkiti penyakit itu.

“KKM akan terus memantau perkembangan jangkitan Covid-19 di dalam dan luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.


Pengarang :