Kakitangan PKNS memasukkan bubur ke dalam bekas sebelum diagihkan kepada orang ramai pada majlis Agihan Bubur Lambuk Kasih PKNS di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 5 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

2,000 anak yatim bakal dirai PKNS sempena Ramadan tahun ini

SHAH ALAM, 6 APRIL: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) meraikan 2,000 anak-anak yatim sempena Ramadan tahun ini, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Dato’ Mahmud Abbas berkata anak-anak yatim daripada lima rumah anak yatim itu akan dibawa berbuka puasa bersama pengurusan PKNS.

“Ia adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) selain daripada edaran bubur lambuk.

“Setiap tahun kita meraikan antara lima hingga 10 rumah anak yatim. Selain itu, banyak lagi program CSR dianjurkan bersama Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengagihkan bubur lambuk di Kompleks PKNS Shah Alam. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Real Estate Sdn. Bhd. (PREC), Sr. Fakru Radzi Ab. Ghani dan pengurusan PKNS.

Tambah beliau, PKNS turut menyumbangkan wang tunai kepada asnaf dan anak-anak yatim sepanjang Ramadan ini.

“Kakitangan PKNS menyediakan tabung khas dan semua kutipan akan diagihkan kepada anak-anak yatim serta asnaf,” katanya.

Terdahulu, PKNS mengagihkan 4,000 bungkus bubur lambuk secara percuma kepada pengunjung di Kompleks PKNS di sini semalam.

Bubur lambuk yang dibawa khas dari Kampung Baru itu turut diagihkan kepada peniaga dan pemandu teksi di kompleks tersebut mulai jam 4 petang.


Pengarang :