Penerima menunggu giliran untuk suntikan vaksin Covid-19 ketika program Vaksin Selangor (Selvax Bergerak) di Dataran Santai @ Ampang Point, Ampang pada 16 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

22 kes kematian, 10,052 kes jangkitan harian Covid-19 direkodkan semalam

SHAH ALAM, 14 APRIL: Jumlah jangkitan harian Covid-19 kembali melonjak melepasi paras 10,000 apabila 10,052 kes direkodkan semalam, dengan 22 kes kematian, termasuk enam kes kematian di luar hospital.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata 15,893 kes sembuh dicatatkan semalam, menjadikan kes keseluruhan sembuh kepada 4,196,656 sehingga semalam.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata seramai 117,465 pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah, 367 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan 2,599 dirawat di hospital.

“Setakat semalam, 161 pesakit ditempat di unit rawatan rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 62 kes tidak memerlukan bantuan pernafasan dan 99 kes di ICU memerlukan bantuan pernafasan.

“Bagi kes di ICU, 63 kes disahkan Covid-19, 98 kes disyaki, kemungkinan atau kes dalam siasatan ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pesakit kes kategori serius iaitu 3, 4 dan 5 tetap rendah iaitu 65 atau 0.65 peratus manakala kategori 1 (tanpa gejala) dan 2 (gejala ringan) adalah 9,987 kes atau 99.35 peratus.

Berikut adalah pecahan pesakit mengikut kategori:

Kategori 1: 5,715 kes (56.85 peratus)
Kategori 2: 4,272 kes (42.50 peratus)
Kategori 3: 31 kes (0.31 peratus)
Kategori 4: 17 kes (0.17 peratus)
Kategori 5: 17 kes (0.17 peratus)

Sementara itu, tiga kluster baharu direkodkan semalam, menjadikan jumlah kluster yang aktif setakat semalam kepada 113, manakala jumlah kluster yang sudah tamat adalah 6,845.


Pengarang :