Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir (tengah) ketika melawat bazar Ramadan SS6/1, Petaling Jaya pada 5 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

30 peniaga Bazar Ramadan SS 6/1 Kelana Jaya sertai PLATS

PETALING JAYA, 5 APRIL: Seramai 30 peniaga di Bazar Ramadan SS 6/1, Kelana Jaya menyertai Platform Selangor (PLATS) sepanjang Ramadan ini bagi memperkenalkan perniagaan mereka.

Datuk Bandar Petaling Jaya berkata inisiatif itu membantu peniaga menjana pendapatan lebih tinggi.

“Menerusi PLATS makanan dijual peniaga dapat dipromosikan kepada orang ramai dengan lebih meluas. Ini membolehkan mereka terima tempahan.

“Kita menggalakkan lebih ramai peniaga bazar di Petaling Jaya ini menyertai PLATS memandangkan manfaatnya yang besar,” kata Mohamad Azhan Md Amirpada selepas meninjau bazar berkenaan.

PLATS diperkenalkan pada Ramadan 2020 bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor membabitkan usahawan melalui satu platform digital.

Pada 11 April tahun lalu, PLATS 2.0 dilancarkan bagi membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang masa, tidak terhad ketika bulan puasa sahaja.

Setakat 31 Disember lalu, PLATS 2.0 berjaya menarik 7,742 peniaga hasil usaha pasukan Rakan Digital Selangor yang turun ke lapangan bagi menggalakkan penglibatan golongan terbabit.


Pengarang :