Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) dan isteri Datin Seri Masdiana Muhamad (tengah) membungkus bubur lambuk ketika Program Bubur Lambuk Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Wira Damai, Gombak pada 9 April 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALSELANGOR

3,000 bungkus bubur lambuk diagih kepada penduduk sekitar Sungai Tua

GOMBAK, 9 APRIL: Bagi mengimarahkan Ramadan, sebanyak 3,000 pek bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua hari ini.

Dato’ Menteri Besar berkata agihan dibuat menerusi Program Bubur Lambuk Perdana anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN terbabit dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Sebanyak lapan periuk bubur lambuk dimasak yang mampu menghasilkan antara 2,000 hingga 3,000 bungkus sebelum diberikan percuma kepada penduduk sekitar.

“Tahniah kepada semua yang terlibat dalam menganjurkan program ini. Diharap sumbangan dapat merancakkan lagi ukhuwah yang terjalin selama ini bersama penduduk,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Terdahulu, Amirudin dan isteri Datin Seri Masdiana Muhamad turut serta mengacau bubur lambuk di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Wira Damai di sini.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Mohd Yazid Saidi dan Pegawai Daerah Gombak Nor Azlina Abdul Aziz.

Sukarelawan terlibat menjayakan program itu ialah Team Selangor, Majlis Perbandaran Selayang, MPKK dan Kolej Teknikal Azmida (ATC).

Sementara itu, Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Tua turut berharap semangat kerjasama dalam menjayakan acara sedemikian dapat diteruskan sepanjang Ramadan.

“Bulan Ramadan menjanjikan pelbagai ganjaran kepada mereka yang melakukan amal kebaikan,” katanya yang turut dijadual mengagih bubur lambuk di Bazar Ramadan Bandar Baru Selayang petang ini.


Pengarang :