Pendaftaran pelajar tingkatan satu di Asrama Yayasan Selangor di Klang. Foto Yayasan Selangor
AGENDAAGENSISELANGOR

318 pelajar keluarga berpendapatan rendah terima tajaan Yayasan Selangor

SHAH ALAM, 12 APRIL: Seramai 318 pelajar tingkatan satu dipilih untuk menyambung pelajaran di sekolah tajaan Yayasan Sekolah menerusi Program Rancangan Khas Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia – Yayasan Selangor (RKPYS) bagi sesi persekolahan tahun 2022/2023.

Menurut Yayasan Selangor, kesemua pelajar itu adalah dari keluarga berpendapatan kurang daripada RM2,000 dari seluruh Selangor dan memperoleh sekurang-kurangnya tahap pembelajaran tiga (TP 3) dalam semua matapelajaran menerusi pentaksiran bilik darjah tahun enam.

“Sebanyak 3,838 permohonan diterima kali ini dan ia dijalankan sepenuhnya secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu juga menyebut, pelajar mendaftar di sekolah mengikut ketetapan Jabatan Pendidikan Negeri iaitu 4 April bagi mereka yang ditempatkan di sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Bagi pelajar yang ditempatkan di sekolah di Selangor mereka mendaftar pada 11 April.

“Pendaftaran bagi pelajar di asrama pusat Yayasan Selangor di Klang dan Sabak Bernam dijalankan pada 9 serta 10 April lalu,” katanya.

Sementara itu, program yang dianjurkan sejak 1971 itu menyasarkan pelajar dari keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.

Kesemua pelajar yang dipilih akan menikmati kemudahan asrama, biasiswa, kelas bimbingan, program kecemerlangan akademik dan pembangunan kendiri.


Pengarang :