Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada seorang penerima semasa program Vaksin Selangor (Selvax) anjuran ADN Bukit Gasing, Kampung Tunku, Bandar Utama dan Bukit Lanjan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall pada 30 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

33 kes kematian, 12,017 kes harian Covid-19 direkodkan semalam

SHAH ALAM, 6 APRIL: Angka jangkitan harian Covid-19 meningkat sebanyak 2,015 kes kepada 12,017 semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah itu 11,958 adalah kes tempatan dan baki, 59 adalah kes import.

“Jumlah pesakit sembuh yang direkodkan semalam masih melebihi jangkitan harian iaitu 20,431 kes menjadikan kes sembuh keseluruhan kepada 4,062,154 kes setakat semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 33 kes kematian termasuk 10 kes kematian di luar hospital direkodkan semalam dan hanya satu kluster baharu dicatatkan semalam, menjadikan jumlah kluster aktif sehingga semalam adalah 163.

Dr Noor Hisham berkata, pesakit kes kategori serius iaitu 3, 4 dan 5 kekal rendah iaitu 68 atau 0.57 peratus manakala kategori 1 (tanpa gejala) dan 2 (gejala ringan) adalah 11,949 kes atau 99.43 peratus.

“Daripada 68 kes kategori 3, 4 dan 5 yang dilaporkan semalam 15 kes atau 22.06 peratus membabitkan individu yang tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi, 29 kes atau 42.65 peratus sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak.

“Sebanyak 24 kes atau 35.29 peratus sudah menerima dos penggalak, 38 kes atau 55.88 peratus individu berumur 60 tahun dan ke atas serta 40 kes atau 58.82 peratus mempunyai komorbid,” katanya.

Berikut adalah pecahan pesakit mengikut kategori:

Kategori 1: 6,646 kes (55.30 peratus)
Kategori 2: 5,303 kes (44.13 peratus)
Kategori 3: 28 kes (0.23 peratus)
Kategori 4: 15 kes (0.13 peratus)
Kategori 5: 25 kes (0.21 peratus)

Sementara itu, hanya Selangor mencatatkan penggunaan unit rawatan rapi (ICU) melebihi 50 peratus iaitu sebanyak 51 peratus, manakala bagi katil bukan ICU, Putrajaya dan Selangor mencatatkan penggunaan 55 peratus.


Pengarang :