ADN Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran meninjau Program Jualan Prihatin Rakyat di Medan Selera Seksyen 8, Petaling Jaya pada 9 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

450 individu B40 Bukit Gasing terima baucar beli-belah Aidilfitri

PETALING JAYA, 10 APRIL: Seramai 450 individu menerima baucar Jom Shopping sempena Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing baru-baru ini.

Wakil rakyat R Rajiv berkata penerima adalah dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) yang belum pernah menerima manfaat tersebut.

“Proses pengagihan sudah pun selesai dan penerima boleh menebus baucar bernilai RM100 di Pasaraya Giant Kelana Jaya bagi membuat persiapan sambutan perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Saya berharap sumbangan Kerajaan Negeri ini sedikit sebanyak membantu menampung perbelanjaan rakyat terutama dalam keadaan harga barangan semakin meningkat ketika ini,” katanya.

Kerajaan Selangor memperuntukkan sejumlah RM3.34 juta tahun ini untuk agihan baucar beli-belah sempena Aidilfitri yang memanfaatkan 33,400 ketua isi rumah B40.

Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan menyasarkan golongan kurang mampu sebagai inisiatif jangka panjang bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Penyerahan bantuan disalurkan kepada komponen utama kaum di Selangor mengikut perayaan masing-masing.


Pengarang :