Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Johary Anuar menyampaikan duit raya kepada anak yatim dan asnaf pada majlis berbuka puasa di Masjid Al-Irsyad USJ1, Subang Jaya pada 14 April 2022. Foto MBSJ
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

50 anak yatim, asnaf dirai dalam majlis buka puasa MBSJ

SHAH ALAM, 15 APRIL: Seramai 50 anak yatim dan asnaf sekitar Subang Jaya diraikan dalam majlis berbuka puasa di Masjid Al-Iryad USJ 1 semalam.

Golongan terbabit turut menerima duit raya RM50 setiap seorang pada program anjuran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 4.

Datuk Bandarnya Dato’ Johary Anuar berkata program itu bertujuan membangkitkan kesedaran orang ramai supaya berkongsi rezeki dan kasih sayang kepada individu memerlukan.

“Program yang dilaksanakan merupakan inisiatif MBSJ berkonsepkan ‘Bandaraya Rahmah Ummah Sejahtera’ dengan mengimbangi pembangunan fizikal dan sosial serta keperluan duniawi dan akhirat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengisian lain dalam program itu ialah sesi tazkirah dan edaran bubur lambuk bersama Ahli Parlimen Subang Wong Chen kepada asnaf, keluarga berpendapatan rendah (B40) dan komuniti Pangsapuri Angsana USJ1.

Johary turut memuji usaha pelbagai pihak dalam meraikan golongan memerlukan di Subang Jaya khususnya anak yatim dan asnaf.

“Ini sekali gus memberi impak baik kepada masyarakat untuk membantu golongan memerlukan yang merupakan sebahagian daripada generasi yang bakal mewarisi legasi Subang Jaya,” katanya.


Pengarang :