EXCO Infrastruktur dan Pertanian YB Ir Izham Hashim mengagihkan kupon pembelian ketika Karnival Jualan Mega Prihatin Rakyat anjuran PKPS di Kampung Pandan, Ampang Jaya pada April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

500 pengunjung awal program jualan murah dapat baucar RM10

AMPANG, 30 APRIL: Sebanyak 500 baucar RM10 diagihkan kepada pengunjung Jualan Prihatin Rakyat Mega Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah hari ini.

Wakil rakyat Ir Izham Hashim berkata inisiatif membabitkan peruntukan berjumlah RM5,000 bertujuan meringankan beban rakyat dalam menyediakan kelengkapan Aidilfitri.

“Baucar diberikan kepada pengunjung di Dewan Serbaguna Jalan H, Kampung Pandan dan Pasar Tani Taman Melawati. Seramai 500 pengunjung terawal diberikan baucar ini.

“Dengan ada baucar penerima boleh menjimatkan lagi belanja mereka dan kurang terbeban,” katanya selepas meninjau Program Jualan Prihatin Rakyat di Dewan Serbaguna Jalan H, di sini hari ini.

Program Jualan Prihatin Rakyat dilancar sejak 28 Februari lalu. Sempena Aidilfitri Kerajaan Selangor melaksanakan jualan besar-besaran melibatkan 29 lokasi bermula 25 April hingga 2 Mei.

Menerusi program itu, ayam standard dijual pada harga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 perkilogram), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 per pek).


Pengarang :