Petugas kesihatan memakai kelengkapan alat perlindungan diri (PPE) ketika memberi rawatan kepada pesakit Covid-19 di Unit Rawatan Rapi Hybrid Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang pada 11 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

8,112 kes jangkitan harian, satu kluster direkodkan semalam

SHAH ALAM, 11 APRIL: Angka jangkitan Covid-19 turun dibawah paras 10,000 semalam kepada 8,112 kes kata Ketua Pengarah Kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu 8,087 adalah kes tempatan dan 25 adalah kes import.

Katanya, 15,765 pesakit dilaporkan sembuh menjadikan jumlah keseluruhan sembuh kepada 4,144,728 kes setakat semalam.

“Dua negeri mencatatkan penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) melebihi 50 peratus iaitu Putrajaya sebanyak 100 peratus dan Selangor sebanyak 53 peratus, manakala bagi katil bukan ICU hanya Putrajaya mencatatkan penggunaan melebihi 50 peratus iaitu sebanyak 59 peratus.

“Daripada 2,811 pesakit yang ditempatkan di hospital, 64 pesakit di unit rawatan rapi (ICU) tidak memerlukan bantuan pernafasan dan 110 di ICU memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata, pesakit kes kategori serius iaitu 3, 4 dan 5 kekal rendah iaitu 56 atau 0.69 peratus manakala kategori 1 (tanpa gejala) dan 2 (gejala ringan) adalah 8,056 kes atau 99.31 peratus.

“Daripada 68 kes kategori 3, 4 dan 5 yang dilaporkan semalam 17 kes atau 30.36 peratus membabitkan individu yang tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi, 21 kes atau 37.50 peratus sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak, 18 kes atau 32.14 peratus sudah menerima dos penggalak, 33 kes atau 58.93 peratus individu berumur 60 tahun dan ke atas serta 38 kes atau 67.86 peratus mempunyai komorbid,” katanya.

Berikut adalah pecahan pesakit mengikut kategori:

Kategori 1: 3,772 kes (46.50 peratus)
Kategori 2: 4,284 kes (52.81 peratus)
Kategori 3: 29 kes (0.36 peratus)
Kategori 4: 10 kes (0.12 peratus)
Kategori 5: 17 kes (0.21 peratus)

Beliau berkata, 12 kes kematian direkodkan semalam termasuk empat kes kematian di luar hospital dan hanya satu kluster baharu dicatatkan semalam, menjadikan jumlah kluster aktif sehingga semalam adalah 130.


Pengarang :