AGENDANASIONAL

89,976 tiket KTMB masih ada untuk pulang beraya

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Sebanyak 89,976 baki tiket perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) masih tersedia bagi menampung permintaan rakyat Malaysia untuk pulang ke kampung halaman sempena perayaan Aidilfitri.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata baki tiket itu melibatkan perkhidmatan tren elektrik (ETS), ETS tambahan (KL Sentral-Padang Besar), KTM Intercity melibatkan Ekspres Rakyat Timuran, Ekspres Selatan dan Shuttle Timuran serta Ekspres Khas Keluarga Malaysia pada 23 April hingga 8 Mei ini.

Beliau berkata bagaimanapun, tren khas Ekspres Keluarga Malaysia dari KL Sentral ke Tumpat, Kelantan telah habis dijual termasuk 180 tempat duduk tambahan.

“Bagi laluan Tumpat-KL Sentral pada 7 Mei 2022 hanya tinggal 246 tempat duduk Superior,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan pek hari raya kepada penumpang KTMB di Stesen KL Sentral hari ini.

Wee berkata jumlah keseluruhan tiket yang ditawarkan ialah 244,502 dan setakat ini, sebanyak 154,526 telah dijual.

“Ada baki 89,976 tiket dengan keseluruhan peratus yang terjual ialah 63 peratus (bagi semua perkhidmatan KTMB di atas),” katanya.

Wee turut menasihati penumpang untuk merancang perjalanan sebaiknya supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

“Saya merayu kepada mereka yang nak balik ke kampung, kena tiba lebih awal (dari masa kereta api yang ditetapkan) kerana tren ini kita tidak boleh lengahkan untuk sesiapa. Waktunya tepat disebabkan sistem,” kata beliau.

– BERNAMA


Pengarang :