BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

ADN Bukit Melawati gigih tingkat prasarana rakyat, promosi pelancongan

Asalnya, Juwairiya Zulkifli cuma calon bidan terjun Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berikutan calon pilihan asal tidak menepati syarat kelayakan bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Berbekal pengalaman bekerja dengan ahli politik, pemegang ijazah sarjana muda teknologi maklumat (pengurusan sistem dan sains) Universiti Kebangsaan Malaysia itu tidak sukar untuk memenangi hati penduduk. Wartawan Zareef Muzammil mewawancara Juwairiya yang juga setiausaha politik kepada Dato’ Menteri Besar mengenai pelaksanaan inisiatif dan perancangan DUN Bukit Melawati.

Politik bukan sesuatu yang asing buat YB sebelum menjadi wakil rakyat, boleh perinci lebih lanjut?

Saya pernah berkhidmat dengan tiga ahli parlimen dan seorang EXCO yang juga Ahli Dewan Negeri antara 2009 hingga 2018. Pelbagai tugas dijalankan sepanjang tempoh tersebut antaranya bekerja bawah Unit Penyelidikan Parlimen KEADILAN dengan membantu ahli parlimen membuat kajian Rang Undang-Undang selain mempersiap data dan maklumat kepada mereka sebelum dibahas di Parlimen. Selain itu, ketika berkhidmat sebagai pegawai dasar EXCO kesihatan, kesejahteraan, keluarga dan hal ehwal wanita, saya dipertanggungjawab membuat penyelidikan serta pembentukan dasar atau program pemberdayaan wanita. Berbekal pengalaman dalam pentadbiran di samping kerap berurusan dengan kerajaan dan rakyat, saya percaya sedikit sebanyak membantu tugas sebagai wakil rakyat hari ini.

Adakah kerjaya tersebut mendorong untuk menjadi wakil rakyat?

Individu berkaitan dianggap sebagai mentor saya ketika mula terjun ke dunia politik sebaik tamat pengajian di UKM pada 2008. Saya melihat bermacam-macam ragam, gaya dan sepak terajang ahli politik menguruskan hal ehwal semasa mereka.

Namun, hanya beberapa bulan selepas kemenangan Pakatan Rakyat di Selangor pada 2008 yang kini dikenali sebagai Pakatan Harapan (HARAPAN), saya berasa politik dapat membuat perubahan sebenar. Malah, saya percaya melalui politik, hal berkaitan reformasi, pengislahan serta strategi mengubah masyarakat, negara, polisi dan dasar dapat diterjemahkan. Lantaran itu, saya terus
mendaftar sebagai ahli KEADILAN dan sehingga kini terlibat secara langsung dalam politik.

Tidak berjinak-jinak dalam politik semasa menuntut di universiti?

Saya cuma aktif dalam gerakan pelajar seperti Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia dan Kelab Mahasiswa dalam kampus. Dari situ juga membina sahsiah dan kepimpinan saya. Oleh sebab itu saya menggalakkan anak-anak muda untuk bergiat dalam persatuan ketika belajar kerana sekurang-kurangnya dapat mempersiap diri mereka apabila masuk ke alam pekerjaan. Sejujurnya saya amat bersyukur dengan pengalaman dan penglibatan semasa universiti membantu tugas saya pada hari ini.

Apakah cabaran yang dilalui sejak bergelar wakil rakyat dan bagaimana mengatasinya?

Mengurus rakyat memang tugas paling mencabar kerana mereka ada pelbagai ragam tetapi itu amanah dan tanggungjawab yang harus dipikul. Begitu juga mengurus konflik sebab kadang kala apa yang kita cadangkan tidak semestinya diterima satu pihak selain perlu memastikan apa matlamat sebenar kita. Adakah pro kepada pembangunan, mengutamakan kepentingan rakyat atau ada kepentingan tertentu. Di sini sebenarnya meletakkan nilai seseorang pemimpin.

Memandangkan saya baharu kali pertama menjadi wakil rakyat, memang agak sukar mengurus perkara itu. Bagaimanapun, saya banyak meminta tunjuk ajar dan nasihat daripada wakil rakyat lebih senior. Malah, sehingga kini saya sentiasa membaca dan belajar benda baharu terutama apabila melibatkan soal tanah serta rakyat kerana skopnya luas. Dalam hal ini, saya tidak membuat keputusan sendiri sebaliknya melibatkan pihak yang lebih arif serta agensi tertentu.

Apakah masalah golongan berpendapatan rendah (B40) yang dapat diselesaikan setakat ini?

Kebanyakan individu yang hadir ke pusat khidmat masyarakat (PKM) adalah golongan B40 dan penerima zakat. Sejak dua tahun kebelakangan ini terutama dalam tempoh pandemik Covid-19, ramai kalangan mereka yang memerlukan bantuan kesihatan, pendidikan dan perniagaan. Misalnya anak-anak perlu mengikuti pengajian dan pembelajaran di rumah (PdPR), jadi mereka memerlukan komputer riba. Begitu juga pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi tampil mengadu masalah kewangan untuk membiayai yuran, peralatan belajar termasuk komputer riba. Peniaga terkesan dengan pandemik juga memohon alatan niaga dan modal permulaan.

Daripada aspek perubatan pula, kita membantu pesakit yang perlu dihantar ke hospital pakar lebih jauh berikutan kemudahan itu tiada di Bukit Melawati. Mereka terpaksa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang atau Hospital Sungai Buloh untuk mendapatkan rawatan. Jarak perjalanan ke hospital berkenaan sangat jauh, jadi mereka memerlukan wang untuk membayar tambang teksi sehingga RM200 bagi perjalanan pergi dan balik.

ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli menyantuni warga emas di Kampung Api-Api, Kuala Selangor pada 15 April 2022. Foto Facebook Juwairiya Zulkifli

Apakah kriteria tertentu yang melayakkan mereka mendapat bantuan?

Biasanya kita semak latar belakang pemohon sama ada mereka daripada keluarga yang benar-benar memerlukan atau sebaliknya. Tidak kisah mereka pengundi atau tidak kerana paling penting mereka tinggal di kawasan saya. Sebenarnya kita tidaklah terlalu memilih dalam menyalurkan bantuan, cuma ada program-program tertentu yang mensyaratkan pemohon adalah pengundi DUN Bukit Melawati.

Sebenarnya ini juga menjadi satu cabaran apabila individu berkenaan tinggal di kawasan saya tetap mengundi di tempat lain. Kadangkala terpaksa buat pertimbangan dan tapisan berdasarkan peruntukan yang kita ada.

Apakah perkembangan terkini program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) di Bukit Melawati? Berapa jumlah penerima manfaat?

Program IPR atau kini dikenali Iltizam Selangor Penyayang memang disambut baik oleh golongan B40. Mereka sangat gembira dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah program tersebut kerana ia berorientasikan rakyat. Saya percaya sepanjang tiga penggal HARAPAN memerintah Selangor, rakyat nampak semua perkara ini.

Untuk rekod, program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) atau Bantuan Kehidupan Sejahtera (Bingkas) berjaya memanfaatkan seramai 300 orang, Inisiatif Peduli Sihat (2,000), Skim Mesra Usia Emas (3,500) manakala Sihat Selangor meningkat dari 44 orang pada 2018, 2019 (55 orang), 2020 (71 orang), 2021 (51 orang) dan
41 orang setakat April 2022. Selain itu, setiap tahun sebanyak 600 baucar beli-belah sempena Hari Raya Aidilfitri diberikan kepada keluarga memerlukan manakala Deepavali (450) dan Tahun Baharu Cina (350).

Apakah inisiatif lain yang telah dijayakan di DUN Bukit Melawati?

Setiap tahun saya menerima peruntukan RM800,000 dengan 30 peratus daripadanya digunakan bagi pembangunan infrastruktur misalnya baik pulih jalan raya, tempat sembelihan lembu di surau sempena ibadah Korban, pusat sukan seperti gelanggang futsal, badminton dan sepak takraw. Dana tersebut turut digunakan bagi pembinaan titi di rumah penduduk yang memerlukan termasuk Jeti Pontoon Terapung di Kampung Asahan.

Jeti Pontoon disiapkan tahun lalu sejak permohonan pembinaan diluluskan pada 2019. Dengan adanya jeti ini, ia memanfaatkan kira-kira 60 komuniti nelayan yang menjalankan aktiviti memancing. Mereka juga boleh menjana pendapatan dengan menyewakan bot kepada orang luar untuk memancing. Di samping itu, saya membantu penduduk di Kampung Baru Batu 6 Asahan untuk pemasangan empat lampu solar jalan. Sejak mereka tinggal di situ lebih 50 tahun lalu, tiada bekalan elektrik atau lampu jalan dipasang melainkan lampu bahagian luar di jalan utama.

Pandemik yang melanda negara dua tahun lalu menjejaskan kehidupan penduduk. Apakah bentuk bantuan bagi meringankan beban mereka?

Saya akui pandemik menyebabkan pergerakan masyarakat terhad. Lebih menyedihkan apabila ramai yang tidak dapat keluar bekerja dan hilang punca pendapatan. Namun, fokus saya ketika itu memberi bakul makanan termasuk kit penjagaan kesihatan meliputi cecair pembasmi kuman dan pelitup muka secara percuma bagi meringankan beban mereka. Bukan itu sahaja, penduduk terjejas disediakan barangan basah seperti ayam, ikan dan sayur dengan agihan dibuat dari rumah ke rumah oleh petugas PKM. Kesemua bantuan ini memanfaatkan lebih 10,000 penduduk dan masih diteruskan sehingga ke hari ini terutama keluarga yang dikuarantin akibat dijangkiti Covid-19.

Selain penduduk, bantuan turut diberi kepada petugas barisan hadapan yang bertugas 24 jam demi memastikan keselamatan masyarakat. Saya menaja makan tengah hari dan malam kepada mereka. Pasukan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) Bukit Melawati juga turun padang ke rumah keluarga yang menjalani kuarantin bagi memberi nasihat berkaitan pengurusan dalam rumah.

Bagaimana pula pasukan YB membantu mangsa terjejas banjir luar biasa pada Disember tahun lalu?

Tiga kampung di Bukit Melawati terjejas dalam kejadian itu antaranya Kampung Asahan, Kampung Tanjong Siam dan Kampung Bukit Kuching membabitkan seramai 1,511 keluarga. Selepas insiden itu, saya bersama anggota PKM turun padang bagi membantu mangsa terlibat selama dua minggu. Kami membantu dari segi pengoperasian pusat pemindahan sementara (PPS) selain memudah cara urusan bantuan makanan serta keperluan lain seperti bantal, selimut dan pelapik tidur.

Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor turut diberi bantuan sebuah bot yang diperbuat daripada fiber untuk memudahkan usaha menyelamat mangsa ke PPS. Sumbangan diberikan selepas kami mendapati balai terbabit hanya memiliki sebuah bot yang agak berat. Susulan itu, kami berjaya mengeluarkan
semua mangsa yang terperangkap ke PPS Stadium Tertutup Kuala Selangor termasuk beberapa sekolah antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kuching Tengah dan SMK Kuala Selangor serta Dewan Orang Ramai Bukit Kuching. Ketika itu, kebanyakan penduduk sempat keluar dari kawasan rumah
masing-masing, cuma penduduk di Kampung Asahan yang masih ramai terperangkap.

ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli (tengah) bersama penerima bantuan beg sekolah dan alat tulis di Taman Teluk Piah, Kuala Selangor pada 19 Mac 2022. Foto Facebook Juwairiya Zulkifli

Adakah semua mangsa telah terima Bantuan Selangor Bangkit (BSB)?

Saya lihat pada minggu pertama selepas kejadian, rata-rata mangsa agak marah kerana tidak menerima bantuan. Namun, sebaik Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan BSB, kemarahan mereka reda. Saya berterima kasih kepada beliau (Amirudin) kerana memudahkan urusan ini. Alhamdulillah,
semua mangsa sudah memperoleh bantuan RM1,000. Malah, saya sendiri sempat menghadiri majlis penyerahan bantuan di beberapa tempat. Dengan adanya BSB banyak memberi kelegaan kepada mangsa yang terpaksa melalui kepayahan selain menanggung kerugian. Mereka sangat bersyukur atas bantuan
disampaikan.

Apakah perancangan untuk memajukan lagi DUN Bukit Melawati?

Kerajaan Negeri mengklasifikasi Bukit Melawati sebagai kluster pelancongan dan agropelancongan. Dari sudut pelaburan dan pembangunan industri memang sangat terhad, tetapi pembangunan pelancongan dan pertanian moden itu boleh diteroka secara meluas lagi. Oleh itu, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mencadangkan pembangunan Smart Selangor Agro Park (SSAP) di kawasan ini.

Pembangunan ini menumpukan kepada penternakan udang organik melibatkan projek besar atas tanah seluas 700 ekar. Saya percaya SSAP boleh dibangunkan lebih pesat sekali gus membantu rakyat tempatan dan anak muda mendapatkan pekerjaan.

Di samping itu, kita berharap ada pelabur yang datang ke Kuala Selangor terutama Bukit Melawati bagi melihat potensi pelancongan di sini untuk dibangunkan sama ada pelancongan atau perhotelan memandangkan hotel di sini agak kurang sedangkan ia adalah pusat pelancongan. Namun, awal Januari
lalu, sebuah hotel iaitu De Palma Eco Resort dibuka semula setelah operasinya ditutup sejak Oktober tahun lepas.

Melalui pelbagai inisiatif dan program dijayakan, adakah YB yakin sokongan rakyat meningkat dalam PRU15?

Insya-Allah saya ada keyakinan tersebut kerana saya bersama seluruh pasukan PKM, ketua kampung, ahli majlis, ketua komuniti dan pusat wanita berdaya membawa agenda serta aspirasi yang sama dalam membantu dan menyelesaikan masalah rakyat. Diharap segala inisiatif dilaksana dibalas dengan
sokongan masyarakat kepada saya pada PRU akan datang. Bagaimanapun, sudah pasti ia berbalik kepada formula politik dan isu semasa kerana banyak faktor ke arah kemenangan satu-satu pihak.

Berapakah jumlah pengundi baharu di Bukit Melawati?

Terdapat pertambahan hampir 10,000 pengundi termasuk pengundi baharu dan pertama kali, menjadikan 37,000 pengundi di Bukit Melawati setakat ini. Ia satu pertambahan yang amat besar bagi kawasan luar bandar dan majoriti pengundi adalah berbangsa Melayu diikuti India manakala selebihnya Cina. Saya
percaya dan berharap agar dapat bersedia berhadapan dengan pengundi baharu.

Apakah usaha digerakkan bagi menarik pengundi baharu khususnya Undi18?

Saya sedang merangka beberapa program yang menumpukan kepada belia antaranya dari sudut infrastruktur sukan. Saya bercadang untuk mewujudkan arena futsal memandangkan hanya terdapat sebuah gelanggang futsal di kampung. Saya juga ada mengemukakan cadangan kepada Majlis Perbandaran
Kuala Selangor (MPKS) untuk mewujudkan Taman Ekstrem dan gelanggang bola jaring. Selain itu, kita akan meminta Penggerak Belia Selangor (PeBS) mempergiat program kesedaran politik.

Semua ini antara cabaran kepada semua pihak yang mana pertama kali Undi18 diaktifkan semasa pilihan raya negeri Johor. Kita tidak boleh menjangka bagaimana dapatan Undi18 kerana senarionya pasti berbeza pada PRU akan datang. Oleh sebab itu, mahu atau tidak kita kena bekerja kuat.

ADN Bukit Melawati menyusuri Sungai Selangor bersama nelayan mukim Pasangan di Jeti Cikgu Ayob, Kampung Sepakat, Kuala Selangor pada 12 Mac 2022. Foto Facebook Juwairiya Zulkifli

Pandangan berhubung perpecahan pembangkang hingga muncul parti baharu seperti Muda dan Pejuang?

Memang ia satu proses demokrasi dalam politik. Mana-mana pihak atau kumpulan yang berminat untuk terlibat sama dalam proses ini memberi pilihan kepada rakyat. Tetapi pada ketika ini HARAPAN mempunyai masalah dari sudut gabungan kerana terlalu banyak parti baharu muncul dan belum ada formula jelas untuk menangani hal ini. Saya berpandangan kita harus bersama-sama untuk mencapai kemenangan dan membentuk kerajaan bersama. Mungkin terdapat perbezaan dalam sesetengah perkara selain sukar jadi sebagai satu pakatan, tetapi tiada salahnya untuk kita teroka titik persamaan supaya kita tidak rugi kerana pada akhirnya rakyat mahukan perubahan. Jangan hanya pentingkan diri dan rasa kita mampu buat sendiri.

Kita harus fokus kepada musuh yang jelas iaitu untuk memastikan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) tidak lagi memerintah. Kita perlu ambil alih kerajaan tetapi dalam pada itu kita kena menjelaskan kepada akar umbi ke mana hala tuju kita. Kepimpinan HARAPAN perlu mencari penyelesaian dalam hal ini supaya mudah untuk kita bergerak. Sekarang KEADILAN dalam proses pemilihan parti. Diharap kepimpinan baharu dapat menjawab segala persoalan dan memberi solusi kepada formula HARAPAN.

Adakah HARAPAN di Selangor akan terjejas dengan kemunculan parti baharu?

HARAPAN mungkin sedikit terjejas tetapi tidaklah sehingga berlaku perubahan total. Mudah-mudahan kita boleh terus kekal di Selangor, namun dari sudut sokongan kepada parti itu mungkin berlaku perubahan apabila kemasukan parti -parti baharu. Ia juga bergantung keputusan pusat sejauh mana penglibatan mereka (parti baharu) di negeri tertentu. Saya percaya tidak semua negeri parti baharu ini boleh masuk. Sebagai contoh di Johor, Pejuang ditolak rakyat. Bagaimanapun kita tahu Muda boleh bergerak mendapat sokongan di Selangor, Kuala Lumpur dan negeri-negeri lain seperti Pahang. Jadi parti baharu ini perlu adil kepada HARAPAN.


Pengarang :