Orang ramai membeli barang keperluan harian pada Program Jualan Prihatin Rakyat di Jalan Pandan 8, Pandan Jaya pada 12 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNAGENDASELANGOR

ADN cadang tambah lokasi, beri peluang penduduk luar bandar beli barang murah

SEKINCHAN, 16 APRIL: Wakil rakyat Sekinchan mencadangkan supaya program Jualan Prihatin Rakyat diadakan lebih kerap, selain menambah kawasan jualan di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ng Suee Lim berkata ia akan memberi peluang kepada lebih ramai penduduk terutama di luar bandar mendapat faedah daripada program jualan murah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu.

“Lebih ramai rakyat akan menerima manfaat ini terutama keluarga berpendapatan rendah (B40) dapat membeli pada program jualan murah seperti ini.

“Saya bersedia mencadangkan kawasan sesuai untuk program ini pada masa akan datang, jadi ia tidak hanya tertumpu di pekan Sekinchan,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Jualan Prihatin Rakyat di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sekinchan di sini hari ini.

Suee Lim yang juga Speaker Dewan Negeri Selangor turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan PKPS kerana menganjurkan program yang memanfaatkan rakyat itu tepat pada masanya.

“Seperti kita tahu harga barang keperluan ketika ini adalah mahal dan ia membebankan rakyat sehingga mereka perlu berbelanja lebih. Jadi, inisiatif seperti ini amat bagus bagi membantu rakyat,” katanya.

Program bermula jam 10 pagi hingga 1 tengah hari itu diadakan di dua lokasi hari ini, iaitu di DUN Sekinchan dan Dataran Tonggak 9, Sungai Besar.

Sejak 27 Februari lalu, Kerajaan Negeri menjual empat barang keperluan harian iaitu ayam, telur, daging dan ikan pada harga murah sehingga menjelang Aidilfitri menerusi program jualan prihatin rakyat.

Program pada setiap Sabtu dan Ahad secara berkala di seluruh negeri adalah susulan program intervensi harga makanan ehsan yang dilancar Dato’ Menteri Besar awal Februari lalu.

Sebanyak 62 lokasi sudah dikenal pasti bagi tujuan berkenaan iaitu 24 di bawah Selangor Agro Market manakala selebihnya di bawah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).


Pengarang :