BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

ADN Seri Kembangan bijak tangani penjaja haram, baik pulih jalan berlubang

Kekalahan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku pada pilihan raya umum (PRU) 2004 tidak meleburkan hasrat Ean Yong Hian Wah untuk berkecimpung dalam politik. Berbekal pengalaman sebagai pembantu kepada Penasihat DAP Lim Kit Siang, beliau memenangi DUN Seri Kembangan pada 2008. 
 
Pemegang ijazah sarjana muda pengajian perniagaan dari University of Bradford, United Kingdom terus mempertahan DUN berkenaan. Pernah dilantik sebagai EXCO Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, beliau pada PRU14 memperoleh majoriti sebanyak 31,145 undi. Ikuti temu bual wartawan Zareef Muzammil bersama Ean Yong di pejabatnya di Seri Kembangan pada 17 Februari.

Sejak menjadi wakil rakyat pada 2008, apakah masalah prasarana yang berjaya ditangani?

Selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) menerajui Selangor dan saya diberi mandat oleh penduduk Seri Kembangan, saya dapati banyak isu setempat perlu diselesaikan terutama aspek prasarana dan banjir kilat. Saya bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membina kolam takungan di Pusat Perdagangan Seri Kembangan termasuk menaik taraf pam air di Jalan Ku Yow.

Kedua-dua projek yang menelan kos lebih jutaan ringgit ini siap hanya dalam masa dua tahun sekali gus memberi manfaat kepada penduduk. Selain itu, saya mengeluarkan dana sendiri untuk membina dan membaik pulih gelanggang bola keranjang di tiga tapak iaitu Taman Sungai Besi Indah dan Kampung Baru Seri Kembangan.

ADN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah (kanan) mengagihkan makanan percuma kepada penduduk di pasar pagi Kampung Baru Seri Kembangan pada 5 Mac 2022. Foto Facebook Ean Yong Hian Wah

Apakah pula masalah melibatkan golongan berpendapatan rendah (B40) yang diselesaikan?

Majoriti golongan B40 menginap di pangsapuri kos rendah. Saya sering kali mendapat aduan mengenai sampah sarap yang tidak dikutip selain keadaan jalan tidak diselenggara dengan baik berikutan tidak mampu membayar kos pembaikan. Jadi, mereka datang berjumpa dengan saya. Biasanya apabila menerima kes seperti ini, saya akan menghulurkan dana untuk baik pulih jalan berlubang manakala PBT (Majlis Bandaraya Subang Jaya) membantu urusan kutipan sampah.

Saya turut memahami keperluan golongan ini termasuk warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) yang berdepan masalah kekurangan bekalan makanan. Justeru, program agihan makanan asas kepada mereka sentiasa berterusan melalui kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khususnya ketika pandemik Covid-19. Setiap bulan, kira-kira 1,000 pek makanan disalur tanpa menetapkan sebarang kriteria kerana kita memahami kesulitan dihadapi, apatah lagi mereka bukan orang kaya-raya.

Bagaimanakah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) membantu golongan berpendapatan rendah dan berapa jumlah penduduk menikmati bantuan tersebut?

Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana menubuhkan pelbagai dasar untuk membantu rakyat dan ia ternyata memberi manfaat besar kepada mereka, malah penerimaan juga begitu baik. Kebanyakan inisiatif melalui IPR menyasarkan golongan B40 memandangkan mereka benar-benar memerlukan bantuan.

Berdasarkan rekod setakat ini, seramai 14,400 warga emas berusia 60 tahun ke atas yang berdaftar menerima bantuan RM100 dalam bentuk baucar beli-belah di pasar raya terpilih mengikut bulan kelahiran ahli melalui Skim Mesra Usia Emas (SMUE). Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) pula memanfaat seramai 95 orang ibu sejak 2020 sehingga kini. Program ini membantu mengurangkan beban kos sara hidup apabila mereka boleh membuat belian barangan keperluan asas tanpa tunai sebanyak RM200 sebulan.

Bagi Skim Peduli Sihat, seramai 240 pesakit dalam kalangan keluarga B40 menerima bantuan perubatan sehingga RM5,000 seorang manakala 1,500 ahli mendapat manfaat melalui Skim Insurans Peduli Sihat setakat ini. Sementara itu, seramai 15 pelajar yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) peringkat diploma dan ijazah sarjana muda turut memperoleh Hadiah Anak Masuk Universiti berjumlah RM1,000.

ADN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah melawat tapak projek penaiktarafan gerai siang malam di Jalan SK10/3, Seri Kembangan pada 5 Mac 2022. Foto Facebook Ean Yong Hian Wah

Selain IPR, bagaimana belanjawan negeri dan pakej bantuan serta sumbangan PBT dan GLC membantu meringankan beban penduduk? 

Sepanjang tempoh pandemik Covid-19, kebanyakan rakyat hilang mata pencarian untuk meneruskan kelangsungan kehidupan dan mereka hidup dalam kesusahan. Tidak kurang juga kumpulan berpendapatan sederhana (M40) jatuh ke dalam kumpulan B40. Justeru, sebagai wakil rakyat kita berusaha sedaya upaya memainkan peranan dengan menghulurkan bantuan kepada mereka yang terjejas.

Peruntukan Kerajaan Negeri melalui beberapa pakej membantu wakil rakyat menyampaikan segala bentuk sumbangan, sama ada wang ringgit mahupun makanan asas. Pasukan dari pusat khidmat turun ke kawasan komuniti bersama ahli majlis setiap zon dan NGO mengagihkan pek makanan berisi beras, gula, minyak masak dan mi segera bernilai RM150 setiap satu. Wang tunai antara RM200 hingga RM500 turut diberi kepada individu yang benar-benar berdepan kesempitan hidup.

Kita juga menjalankan operasi sanitasi di lokaliti panas termasuk rumah keluarga pesakit wabak. Kerjasama pihak berkaitan dalam meringankan beban penduduk sangat baik, malah berterusan hingga ke hari ini.

Apakah inisiatif yang YB sendiri lakukan untuk membantu penduduk dan membangunkan DUN sejak menjadi wakil rakyat? 

Kadang-kadang, kita tidak perlu menunggu agensi kerajaan untuk menangani sesuatu isu yang dibangkitkan penduduk setempat. Sekiranya masalah berkenaan sangat kritikal dan serius misalnya longkang tersumbat atau jalan berlubang, saya segera melantik kontraktor bagi menjalankan kerja pembaikan dengan menggunakan dana sendiri. Kita tahu bahawa jika ia tidak diselesaikan secepat mungkin pasti akan membahayakan orang awam.

ADN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah meninjau tapak projek pembinaan longkang baharu di Taman Harmoni Bukit Belimbing, Seri Kembangan pada 21 Mac 2022. Foto Facebook Ean Yong Hian Wah

Apakah cabaran dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat dan bagaimana mengatasinya? 

Saya perlu peka dengan apa yang berlaku di sekeliling. Tugas digalas ketika ini mendorong saya untuk lebih kerap bertemu penduduk dan agensi kerajaan bagi meneliti setiap permasalahan yang timbul. Tempoh enam bulan pertama selepas dipilih sebagai wakil rakyat begitu mencabar. Bayangkan saya perlu mengambil masa selama enam bulan untuk belajar cara mengatasi isu penduduk termasuk tatacara berurusan dengan PBT serta pejabat tanah dan daerah.

Bagaimanapun, selepas itu saya sudah mula menyesuaikan diri, malah mampu menyelesaikan isu-isu dibangkitkan seperti permohonan dan pelanjutan tempoh hak milik tanah serta penjaja haram.

Sepanjang tempoh itu, bagaimana tahap keyakinan rakyat terhadap YB? Adakah mereka percaya YB dapat membantu menyelesaikan permasalahan mereka?

Sebenarnya mereka sudah kenal saya semasa kempen PRU lagi. Mereka berpendapat bahawa saya memang layak untuk jadi wakil rakyat kawasan. Jadi, apabila terpilih mereka terus datang dan berjumpa saya jika ada masalah. Isu memang banyak, tetapi saya kena lihat kes demi kes kerana tidak semua masalah boleh diselesaikan dengan mudah. Jadi saya mengambil pendekatan untuk menerangkan kepada mereka selain berusaha sedaya upaya menanganinya.

ADN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah (kiri) menyampaikan sumbangan komputer riba kepada murid kurang berkemampuan di pejabat pusat khidmat masyarakat Seri Kembangan pada 7 April 2022. Foto Facebook Ean Yong Hian Wah

Apa isu kritikal yang YB berjaya tangani dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini? 

Saya masih ingat enam tahun lepas, penduduk tidak berpuas hati dengan sekumpulan penjaja haram yang berniaga di tepi jalan. Penduduk mendakwa kegiatan penjaja ini menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas selain isu sampah sarap. Saya akui ketika itu memang agak sukar untuk mencari tapak bersesuaian bagi menempatkan kira-kira 100 penjaja haram tetapi kerjasama dengan MBSJ membuahkan hasil apabila PBT tersebut menyediakan tapak khusus berhampiran pusat khidmat.

Sebelum itu, kita mencadangkan kepada penjaja terbabit agar berpindah namun tidak dipersetujui sehingga mereka melakukan bantahan. Bagaimanapun, selepas beberapa kali dinasihati dan dipujuk, penjaja berkenaan akhirnya bersetuju dengan cadangan memindahkan ke tapak baharu dan diberi lesen sementara.

Adakah YB masih mengesan penjaja haram di tepi jalan setakat ini? 

Penjaja haram memang sukar untuk dihapuskan. Saya faham kebanyakan mereka adalah golongan susah yang hilang pekerjaan dan berusaha untuk mencari rezeki melalui cara itu. Saya percaya mereka mahu mendapatkan lesen tetapi banyak tapak sudah penuh, sebab itu mereka berani mengambil risiko sedemikian. Malah, kegiatan mereka boleh mencetuskan kemarahan orang awam.

Kadang-kadang saya simpati terhadap mereka kerana ada barang perniagaan terpaksa dirampas penguat kuasa ketika operasi. Jadi, apa yang boleh dilakukan ialah dengan cuba mencari tapak dan melesenkan mereka. Bagaimanapun, usaha ini perlu melalui perbincangan bersama PBT dari semasa ke semasa.

Apakah perancangan jangka panjang untuk meningkatkan kemajuan kawasan DUN?

Kita akan meneruskan projek naik taraf kawasan rekreasi di Jalan Kuyuh, Kampung Baru Seri Kembangan yang dimulakan sejak empat tahun lepas. Setakat ini lebih RM100,000 dibelanjakan untuk menyelenggara taman rekreasi itu. Jadi saya mengambil inisiatif menyediakan peruntukan setiap tahun untuk memberi nafas baharu di lokasi tersebut dengan lukisan mural termasuk menghiasi jambatan pelangi dan rumah pokok cahaya bulan.

Menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina pula, kawasan berkenaan akan dihiasi dengan tanglung dan skulptur yang pasti menggamit kunjungan pelancong. Selain itu, sebuah pasar pagi lebih moden akan dibangunkan akhir tahun ini sebagai menggantikan pasar sedia ada di Kampung Baru Seri Kembangan yang sudah rosak dan uzur. Pembinaan projek bernilai RM6 juta sudah diluluskan Kerajaan Negeri dan MBSJ dipertanggungjawab melantik kontraktor. Kita menjangka projek berkenaan siap dalam tempoh tiga tahun dan mampu menampung kira-kira 300 peniaga.

ADN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah melawat tapak pembangunan pasar transit bagi kegunaan penjaja Pasar Pagi Kampung Baru Seri Kembangan pada 12 April 2022. Foto Facebook Ean Yong Hian Wah

Berdasarkan sambutan penduduk terhadap program dan inisiatif tersebut, adakah YB yakin sokongan rakyat meningkat seterusnya terpilih sekali lagi dalam PRU15? 

Berdasarkan inisiatif selama ini, saya yakin rakyat di Seri Kembangan berpuas hati dengan pentadbiran Selangor yang diterajui HARAPAN. Ini bukan usaha saya sendiri tetapi satu pasukan bawah pimpinan parti.  Mereka juga bukan melihat Seri Kembangan sahaja malah Selangor secara amnya. Justeru, jika HARAPAN terus memperkenalkan dasar dan agenda yang baik, mereka pasti akan memberi mandat kepada HARAPAN sekali lagi.

Apakah usaha yang digerakkan pada peringkat akar umbi bagi menarik sokongan Undi 18 dan pengundi pertama kali? 

Pasukan saya di pusat khidmat memiliki ramai orang muda. Apabila ada orang muda, mereka boleh saling berkomunikasi memahami antara satu sama lain. Paling penting adalah komunikasi diikuti pelaksanaan program. Banyak program melibatkan golongan muda disediakan pasukan saya bersama Penggerak Belia Tempatan (PeBT) misalnya sukan dan program teknologi maklumat memandangkan ia menjadi kesukaan belia. Aktiviti seumpama ini sentiasa berterusan supaya mereka dapat bergaul dengan kita. Apabila kenal kita, mereka akan memahami apa parti dan kerajaan kita, jadi mudah apabila mereka keluar mengundi.

ADN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah melawat kawasan rekreasi yang menjadi tumpuan masyarakat setempat di Jalan Kuyuh Seri Kembangan pada 12 Februari 2022. Foto Facebook Ean Yong Hian Wah

Bagaimana pemerhatian YB terhadap kesedaran politik dalam kalangan belia?

Saya rasa kita perlu berusaha dengan lebih gigih lagi untuk meningkatkan kesedaran politik dan demokrasi terhadap mereka. Individu pertama kali berdaftar sebagai pengundi barangkali masih tidak tahu dengan situasi politik di Malaysia. Mereka harus tahu konsep dan bagaimana untuk mengundi, sebab itu saya berpendapat perkara ini masih di peringkat permulaan dan perlu ditingkatkan.

Pandangan mengenai perpecahan pembangkang hingga muncul parti baharu seperti Muda, Pejuang dan PN?

Pembangkang memang mahu mengejar kuasa semata-mata dan bukan berjuang demi rakyat. Banyak kenyataan dikeluarkan tiada dasar yang baik dan mereka tidak mempunyai banyak pengaruh kepada HARAPAN buat masa ini. Kewujudan parti baharu ini sebenarnya ada yang relevan dan ada yang tidak. Kita tidak boleh menyatakan semua pembangkang tidak relevan kerana apa yang penting adalah tujuan mereka. Namun setakat ini saya melihat mereka tidak berjiwa rakyat dan hanya untuk diri sendiri.

Adakah ia menjejaskan sokongan di Selangor ketika imej Umno kekal negatif?

Sama sekali tidak menjejaskan sokongan rakyat Selangor terhadap HARAPAN kerana parti ini masih kukuh dan stabil.


Pengarang :