Foto Facebook Istana Negara
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri zahir tahniah enam pelajar Malaysia berjaya ke Harvard

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini menzahirkan ucapan tahniah kepada enam pelajar Malaysia yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Harvard.

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara hari ini, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sukacita di atas kejayaan mereka yang sekali gus turut membanggakan rakyat Malaysia.

“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada kesemua pelajar dan mendoakan semoga mereka sentiasa dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan,” menurut catatan itu.

Keenam-enam pelajar itu ialah Chooi Je Qin dari Johor; Herman Leong Xin Yang dan Ishant Shah dari Pulau Pinang; Carisma Michaela Wong dari Sabah; Lee Ee Jenn dari Kuala Lumpur dan Alyssa Yap Xin Yi dari Sarawak.

Kesemua pelajar berkenaan akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Havard bagi sesi pengajian tahun 2022.

-BERNAMA


Pengarang :