Penyelaras Dewan Undangan Negeri Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad menyerahkan sumbangan Ramadan dan Aidilfitri kepada Akademi Al-Quran Walqiraat dan Masjid Al Falah Ulu Yam Bharu pada 12 April 2022. Foto Facebook Saifuddin Shafi Muhammad
ADNSELANGOR

Aidilfitri: 750 keluarga susah di Batang Kali terima baucar beli-belah

SHAH ALAM, 20 APRIL : Seramai 750 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali menerima baucar Jom Shopping sempena Aidilfitri mulai esok.

Penyelaras DUN Saifuddin Shafi Muhammad berkata bantuan baucar bernilai RM100 itu diutamakan kepada individu atau keluarga berpendapatan rendah (B40) yang mempunyai ramai tanggungan.

“Kita mula mengagihkan baucar ini secara berperingkat esok hingga Ahad di pusat khidmat masyarakat (PKM) dan mereka boleh membeli-belah di Pasaraya Econsave Batang Kali sehingga 30 April.

“Sumbangan ini diharap meringankan beban penerima dalam membuat persiapan menyambut perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba tidak lama sahaja lagi,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas berhubung program Ramadan, Saifuddin berkata pihaknya memperuntuk hampir RM25,000 untuk melaksanakan pelbagai program sepanjang bulan mulia itu.

“Daripada jumlah itu kita menganjurkan aktiviti berbuka puasa dan bersahur bersama penduduk, tadarus kecil, edaran bubur lambuk, program selawat, sumbangan kepada asnaf dan anak yatim,” katanya.

Selangor memperkenalkan Jom Shopping Raya yang menyasar kumpulan B40 sebagai inisiatif jangka panjang bagi membela kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Serahan bantuan dibuat melalui pusat khidmat masyarakat di kawasan masing-masing mengikut komponen utama kaum dan sambutan perayaan.


Pengarang :