Dr G Gunaraj menyerah sumbangan barangan dapur menerusi program Bank Makanan DUN Sentosa kepada penduduk pada 9 Mac lalu. Foto Facebook G Gunaraj
ADNSELANGOR

Aidilfitri: DUN Sentosa agih 400 baucar beli-belah, bantu keluarga susah

SHAH ALAM, 12 APRIL: Sebanyak 400 baucar beli-belah sempena perayaan Aidilfitri diperuntuk kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa.

Wakil rakyat Dr G Gunaraj berkata pihaknya berkerjasama dengan masjid serta surau bagi mengenal pasti individu layak menerima manfaat menerusi inisiatif Jom Shopping Raya.

“Semua maklumat penerima sedang dikumpulkan supaya proses agihan baucar bernilai RM100 pada 23 April nanti berjalan lancar.

“Inisiatif ini dapat meringankan beban penerima menyediakan keperluan hari raya. Baucar boleh ditebus di Pasaraya Econsave di Kampung Jawa,” katanya kepada SelangorKini.

Kerajaan Selangor memperuntukkan sejumlah RM3.34 juta tahun ini untuk agihan baucar beli-belah sempena Aidilfitri yang memanfaatkan 33,400 ketua isi rumah B40.

Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan menyasarkan golongan kurang mampu sebagai inisiatif jangka panjang bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.


Pengarang :