Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali ditemui pemberita selepas Program Tangan Bersalaman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, Pasir Mas pada 2 Februari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Aidilfitri: Hanya 10 peratus pegawai, anggota polis dibenar bercuti

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Hanya 10 peratus pegawai dan anggota polis di seluruh negara dibenarkan untuk bercuti sempena Aidilfitiri kali ini, manakala selebihnya akan berada dalam mod bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Hazani Ghazali berkata bermula 30 April hingga 4 Mei, dijangkakan tempoh orang ramai pulang ke kampung halaman untuk berhari raya selepas dua tahun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sebelum ini.

“KDNKA mempunyai kira-kira 26,000 pegawai dan anggota dan hanya 10 peratus yang akan bercuti, kami menjangkakan waktu itu, pergerakan besar-besaran akan berlaku di seluruh negara.

“Yang lain (yang tidak bercuti) akan terlibat bertugas dan bersiap sedia untuk apa jua kemungkinan misalnya seperti bencana dan lain-lain. Kami juga bersiap-sedia daripada aset polis untuk dikerahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis serah terima tugas Timbalan Pengarah KDNKA di Padang Kawad Briged Tengah Pasukan Gerakan Am di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hazani berkata KDNKA juga akan meningkatkan pemantauan di lokasi ‘hotspot’ sempena Aidilfitiri termasuk pasukan pemantau tatacara operasi piawai (SOP) bagi memastikan SOP dipatuhi sepenuhnya seperti yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

“Polis juga bukanlah sewenang-wenangnya mengeluarkan kompaun namun akan memberikan nasihat terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata sejak negara mula memasuki fasa peralihan endemik bermula awal bulan ini, jumlah kompaun yang dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dicatatkan menurun dan orang ramai dilihat mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Selain itu, KDNKA juga akan terus meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan negara bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin menjelang musim perayaan Aidilfitri ini,” katanya.

Dalam pada itu, polis turut menahan 13 warga Myanmar termasuk seorang ‘ejen pengangkut’ di Kelantan, semalam.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Hazani berkata sindiket berkenaan menggunakan kenderaan seperti Toyota Vellfire dan Toyota Alphard bagi membawa pendatang tanpa izin dari sempadan negara.

“Kami ada makumat berkenaan perkara ini dan melakukan pemantauan sepenuhnya terhadap individu yang cuba membawa masuk pendatang tanpa izin secara tidak sah ini.

“Kami juga akan kongsikan maklumat dengan jabatan lain seperti Cawangan Khas dan Ibu Pejabat Polis Kontijen yang bersempadan dengan darat dan laut bagi mengekang kegiatan sindiket ini.

Terdahulu, Hazani menyaksikan serah terima tugas antara Timbalan Pengarah KDNKA (Pasukan Gerakan Am) Datuk Kasuahdi Ali dengan Deputi Komisioner Muhammad Abdul Halim.

– BERNAMA


Pengarang :