Keadaan aliran trafik Plaza Tol Gombak arah Lebuhraya Pantai Timur berjalan perlahan tetapi lancar ketika tinjauan pada 2 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Aidilfitri: Jadi ‘mata-mata’ JPJ, adu salah laku pengguna jalan raya

SHAH ALAM, 22 APRIL: Orang awam diminta menjadi ‘mata-mata’ Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan menyalurkan maklumat jika mengesan pengguna jalan raya yang menyalahi undang-undang.

Maklumat boleh disalurkan melalui aplikasi e-Aduan@JPJ yang boleh dimuat turun melalui Play Store, kata Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Aedy Fadly Ramli, lapor Sinar Harian.

Selain menempatkan 2,200 penguat kuasa di lapangan, beliau menjelaskan aplikasi itu membantu agensi terbabit mengenal pasti pengguna jalan raya yang sengaja melanggar peraturan.

“Jadi, kami menyeru orang awam untuk merakam gambar atau video ketika kejadian bersama maklumat ringkas agar tindakan boleh diambil terhadap pengguna tersebut,” katanya.

Aedy Fadly turut percaya ada pengguna yang bertindak memotong barisan atau memandu di lorong kecemasan jika berlaku kesesakan ketika musim perayaan Hari Raya Aidilfitri kelak.

Beliau menambah tindakan akan diambil dalam tempoh antara 48 hingga 72 jam berpandukan maklumat diterima pihaknya terhadap pengguna jalan raya terlibat.


Pengarang :