Keadaan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menuju ke Kuala Lumpur dan Johor Bahru pada 24 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Aidilfitri: Plus sedia 520 pasukan ronda, trafik harian dijangka cecah dua juta

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: PLUS Malaysia Bhd (PLUS) akan menambah jumlah pasukan PLUSRonda kepada 520 bagi membolehkan kekerapan rondaan ditingkatkan terutamanya di laluan kritkal, susulan jangkaan trafik harian boleh mencecah dua juta kenderaan sehari antara 29 April hingga 9 Mei ini bersempena Aidilfitri.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata PLUSRonda juga akan memberi bantuan kepada kenderaan yang terkandas di lebuh raya dalam usahanya membantu pengguna menikmati perjalanan yang selamat dan selesa ketika berlakunya lonjakan trafik.

“Pada masa sama, kami juga sedar impak kehadiran kenderaan rosak dan terkandas di lebuh raya terhadap kelancaran pergerakan orang ramai di laluan terbabit.

“Oleh yang demikian, PLUS akan menempatkan trak tunda serta kren di lokasi-lokasi kritikal di lebuh raya bagi memudahkan dan mempercepatkan proses pengalihan kenderaan-kenderaan yang terkandas terutamanya di laluan-laluan mendaki,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zakaria berkata di laluan kritikal, PLUS juga bersedia untuk mengaktifkan Laluan Kontra di lokasi tertentu dengan bantuan polis.

Beliau berkata PLUS juga akan meneruskan kolaborasi bersama agensi penguatkuasaan dan kecemasan seperti polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Ketika polis dan JPJ mengadakan rondaan dan penguatkuasaan undang-undang di lebuh raya, pasukan bantuan kecemasan seperti Bomba dan St John Ambulance diletakkan dalam keadaan bersedia di plaza-plaza tol yang strategik dan akan dikerahkan ke lokasi insiden dengan segera dan pantas,” katanya.

Selain itu Zakaria berkata kira-kira 500 anggota pasukan kecemasan (ERT) juga akan berada di lebuh raya untuk memberikan bantuan.

PLUS juga katanya turut memberi fokus terhadap kelancaran trafik dan keselesaan orang ramai di plaza tol dan kawasan-kawasan rehat sepanjang musim perayaan akan datang.

Beliau berkata syarikat itu akan mengambil langkah proaktif dalam usahanya membantu pengguna menikmati perjalanan yang selamat dan selesa di lebuh raya ketika berlakunya lonjakan trafik itu.

— BERNAMA

 


Pengarang :