BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Al-Quran mukjizat teragung, turunnya kalam Allah

SHAH ALAM, 19 APRIL: Selain ibadah puasa, Ramadan juga diingati sebagai bulan turunnya firman Allah SWT kepada manusia menerusi Nabi Muhammad SAW.

Menjadi mukjizat terbesar dianugerahkan kepada kekasih Yang Maha Esa, ayat-ayat Allah SWT dikumpulkan sebagai kitab suci al-Quran. Al-Quran telah banyak mempengaruhi manusia dan mengangkat Islam sebagai agama diredai Allah SWT.

Wartawan Nadiah Zamlus menyusun maklumat mengenai nuzul al-Quran sebagai peristiwa terpenting yang mesti dihayati seluruh umat Islam.

Maksud

  • nuzul bermaksud tetap di satu tempat atau turun dari tempat yang tinggi
  • nuzul al-Quran bererti penurunan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW
  • diturunkan dalam tiga peringkat iaitu Lauh Mahfudz, langit dunia dan beransur-ansur
  • disampaikan kepada Nabi melalui malaikat Jibrail
  • kali pertama berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan

Turunnya kalam Allah

  • ayat terawal diturunkan: ayat satu hingga lima surah al-‘Alaq
  • lokasi: Gua Hira’ berdekatan Mekah
  • ketika Nabi Muhammad SAW berumur 40 tahun
  • terjemahan lima ayat al-’Alaq:
    1. Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)
    2. Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku
    3. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah
    4. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan
    5. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya
  • ayat terakhir diturunkan (menurut sebahagian ulama): ayat 281 surah al-Baqarah
  • terjemahannya:
    Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun

Tiga peringkat diturunkan

1. Lauh Mahfudz

  • secara umum, tempat menyimpan segala yang berkaitan dengan qada’ dan qadar. Di sini, al-Quran dalam bentuk hafalan malaikat dengan lafaz Arab

2. Langit dunia

  • diturunkan dari Lauh Mahfudz ke Baitul Izzah, tingkat langit yang paling bawah

3. Beransur-ansur

  • disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW secara beransur-ansur selama 23 tahun bermula surah Al-’Alaq

Kehebatan wahyu

  • mukjizat terbesar Rasulullah SAW yang hanya dikesan melalui minda dan mata hati
  • memiliki bahasa tinggi dan indah
  • mengandungi kisah nabi dan umat terdahulu
  • menyampaikan perkara ghaib seperti malaikat, jin, syurga dan neraka
  • menceritakan perkara masa lampau dan hadapan seperti hari kiamat
  • menghuraikan secara umum atau khusus perkara berkaitan syariah
  • menerangkan ilmu asas kejadian alam seperti makhluk berpasangan, siang malam dan air sebagai asas kejadian

Sumber
– ‘Nuzul al-Quran dan Perpaduan Ummah’, portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, 30 Jun 2015
– ‘Pengajaran Di Sebalik Nuzul Al-Quran’, portal Institut Kefahaman Islam Malaysia, 22 Mei 2019
– ‘Artikel Khas Nuzul al-Quran’, portal Majlis Agama Islam Selangor, Mei 2021


Pengarang :