Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Apresiasi Sukarelawan Selangor (SERVE) 2022 di Dewan Jubli Perak Bangunan SUK, Shah Alam pada 6 Februari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar sahut cabaran Najib, sedia sertai debat isu Sapura Energy

SHAH ALAM, 4 APRIL: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaannya untuk berdebat dengan Datuk Seri Najib Razak.

Ia susulan cabaran Najib kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu selepas bekas ahli parlimen Pandan Rafizi Ramli mengusulkan hasrat itu kepadanya.

“Saya ambil maklum lontaran cabaran debat dari mantan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak.

“Sikap saya jelas dan tidak berganjak sejak lebih 10 tahun lalu di mana saya pernah melontarkan cabaran yang serupa kepada beliau tapi tidak bersahut.

“Beliau kini memilih mencabar saya di awal bulan Ramadan selepas gagal menjawab sanggahan saudara Rafizi Ramli mengenai kemelut ‘bail-out’ Sapura dalam keadaan rakyat miskin dan peniaga kecil tidak terbela,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Terdahulu, Najib berkata beliau sedia menyahut cabaran debat Rafizi tetapi perlu disertai Anwar bagi membahaskan isu syarikat Sapura Energy Bhd (SEB).

Rafizi membuat cabaran itu selepas Najib menggesa kerajaan menyelamatkan SEB yang mencatatkan kerugian lebih RM8 bilion, selain kewajaran ketua pegawai eksekutifnya yang diberikan gaji yang begitu lumayan.


Pengarang :