Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen Kuala Lumpur pada 1 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar: SPRM ‘campur tangan’ isu hakim mahkamah rayuan

SHAH ALAM, 24 APRIL: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan campur tangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam isu melibatkan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebagai melanggar prinsip institusi kehakiman.

Ketua pembangkang itu berkata institusi kehakiman mempunyai badan menyelia dan mengawal integriti hakim dan ini ditetapkan untuk memastikan agar wujud pembahagian kuasa yang jelas di dalam sistem yang ada.

“Justeru campurtangan SPRM melanggar prinsip ini. Integriti dan kebebasan badan kehakiman kelihatan beransur pulih akibat dari kecelaruan dan ketempangan berdekad-dekad lamanya tanpa ada usaha serius pemerintah untuk membetulkannya.

“Adalah dikhuatiri hebahan sebegini akan dianggap sebagai tekanan dan campurtangan politik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sebelum ini pada 20 April lalu sebuah artikel dari blog mendakwa Mohd Nazlan sedang disiasat kerana RM1 juta yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

Artikel itu mendakwa wang tersebut masuk semasa Mohd Nazlan menjadi peguam dan setiausaha syarikat bagi Kumpulan Maybank.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara itu dan memaklumkan kertas siasatan telah dibuka selepas laporan dibuat.


Pengarang :