Proses pendaftaran sebagai calon sempena pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di Ibu Pejabat KEADILAN, Petaling Jaya pada 11 April 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar tidak dicabar, 17 termasuk dua MB tanding naib presiden KEADILAN

PETALING JAYA, 11 APRIL: Pencalonan bagi jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menyaksikan 17 calon menawarkan diri bertanding pada pemilihan bagi penggal 2022/2025, setakat 7 malam ini.

Naib Presiden yang memperuntukkan empat tempat, ditandingi Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN negeri Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri Datuk Seri Aminuddin Harun.

Turut menawarkan diri bagi merebut jawatan berkenaan adalah penyandang Chang Lih Kang, Pengarah Komunikasi KEADILAN yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Ketua Wanita KEADILAN yang juga Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh, Ketua Setiausaha Pengelola KEADILAN yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, dan bekas Pengerusi KEADILAN Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Turut bertanding adalah bekas Timbalan Pengerusi PKR Perak M.A Tinagaran, Ahli Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, Ahli Parlimen Alor Setar Chan Ming Kai, bekas Ahli Parlimen Kapar G Manivannan dan ADUN Sentosa Dr G Gunaraj.

Lima lagi calon turut menghantar borang pencalonan naib presiden adalah Pengerusi KEADILAN Terengganu Azan Ismail, bekas naib presiden Mustaffa Kamil Ayub, bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) S. Thiban, ADUN Chuah Datuk Michael Yek Diew Ching, serta ADUN Bukit Selambau Dr R. Summugam.

Bagaimanapun, penyandang Tian Chua pada 27 Mac lepas, mengumumkan tidak mempertahankan jawatan itu, Rafizi Ramli pula menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden, manakala Nurul Izzah Anwar pula telah meletak jawatan pada 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Zaliha Mustafa ketika ditemui pemberita di sini hari ini, bagaimanapun berkata jumlah calon berkenaan belum muktamad, memandangkan proses pencalonan bagi pimpinan utama Majlis Pimpinan Pusat (MPP) hanya akan ditutup pada 11.59 malam ini, sejak ia dibuka pada 9 pagi tadi.

Bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, Zaliha berkata setakat ini hanya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menawarkan diri bertanding untuk jawatan nombor satu parti, manakala jawatan nombor dua parti menyaksikan dua calon menawarkan diri iaitu Rafizi dan Setiausaha Agung Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Sementara itu, bagi jawatan Ketua Wanita KEADILAN dan Ketua AMK Zaliha berkata masing-masing dua pencalonan telah diterima pihaknya.

Bagi Ketua Wanita, ia ditandingi Ahli Dewan Negara Fadhlina Sidek dan Ketua Wanita KEADILAN Selangor yang juga ADUN Batu Tiga Rodziah Ismail, manakala jawatan untuk Ketua AMK, ia menyaksikan dua bekas aktivis mahasiswa menawarkan diri iaitu Adam Adli Abdul Halim dan Fahmi Faizol.

Pencalonan bagi pemilihan KEADILAN 2022 bermula pada 8 April dan berakhir semalam (Ahad) melibatkan jawatan di peringkat cabang di seluruh negara manakala bagi jawatan utama tertinggi parti pula berlangsung hari ini.

Buat julung kalinya, pemilihan KEADILAN diadakan secara hibrid iaitu secara fizikal dan dalam talian melalui aplikasi ADIL yang diperkenal pada 28 Februari lepas.

Proses pengundian bagi pemilih dalam talian ialah dari 18 hingga 20 Mei manakala secara fizikal pada 13 hingga 17 Mei.

Zaliha juga berkata ahli yang bersetuju menjadi pemilih dalam talian tidak boleh mengundi secara fizikal.

Pengumuman rasmi calon yang memenangi jawatan MPP meliputi jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden akan diumumkan pada 26 Jun depan di Kongres Nasional Tahunan Keadilan, manakala bagi ketua wanita dan ketua AMK akan diumumkan pada 24 Jun, di kongres tahunan masing-masing.

-BERNAMA


Pengarang :