SHAH ALAM, 14 APRIL: Aplikasi pelancongan negeri Go Selangor bagi memudahkan pengembara dari seluruh dunia mendapat akses berkaitan produk pelancongan negeri dilancar hari ini.
EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata aplikasi dibangunkan hasil kerjasama syarikat pemula tempatan Tourplus Technology yang menelan kos RM3 juta itu selari usaha pendigitalan pelancongan Selangor.
“Aplikasi ini menjadi pusat sehenti untuk menggalakkan semua pelancong datang ke Selangor. Mereka boleh buat tempahan tiket, hotel, chalet, inap desa dan pengangkutan dengan mudah.
“Ini satu-satunya aplikasi (pelancongan) yang dilancarkan di Malaysia. Ia sudah tersedia pada Google PlayStore, manakala iOS bulan depan.
“Memandangkan sekarang kita sudah memasuki fasa endemik, jadi ramai pelancong akan datang ke Malaysia,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Tourism Selangor dan Tourplus di i-City di sini hari ini.
Mou tersebut ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad serta Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas TourPlus Technology Rickson Goh.
Sementara itu, Loy Sian menyasarkan sebanyak 100,000 operator pelancongan menyertai aplikasi tersebut menjelang akhir tahun ini dan 300 operator sudah berdaftar setakat ini.
“Tourism Selangor dan TourPlus Technology akan memastikan sasaran ini mampu dicapai. Mereka akan menjemput lebih ramai operator turut serta selain memantau perkembangan (aplikasi) dari semasa ke semasa.
“Jika ramai operator sertai, maka akan lebih memudahkan orang ramai untuk membuat tempahan terus tanpa melalui ejen,” katanya menambah tiada caj dikenakan terhadap operator berdaftar pada tahun pertama, namun caj RM300 pada tahun berikutnya.
Pada 26 November tahun lalu, Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri membangunkan aplikasi Go Selangor dengan kerjasama TourPlus Technology dan disokong Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata semua perniagaan layak menyertai palikasi berkenaan secara percuma.