Pengunjung membeli ayam ketika tinjauan Media Selangor semasa program jualan murah di Tapak Pasar Malam Berjaya Park, Shah Alam pada 25 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Ayam, daging terus laris terjual di program jualan murah

SHAH ALAM, 25 APRIL: Jualan murah barangan asas terus mendapat sambutan apabila produk ayam segar dan daging pejal menjadi tumpuan masyarakat.

Peniaga Muhd Aliff Farhan Ahmad Bakri, 29, berkata sebanyak 30 ekor ayam dan 50 kilogram (kg) daging pejal terjual dalam tempoh kurang dari satu jam.

“Alhamdulillah program Jualan Prihati Rakyat anjuran Kerajaan Negeri untuk membantu meringankan beban orang ramai terus mendapat sambutan.

“Ia memudahkan masyarakat mendapatkan bekalan ayam dan daging segar selain harga ditawarkan murah berbanding pasaran sedia ada,” katanya kepada SelangorKini.

Muhd Aliff Farhan Ahmad Bakri, 29. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau ditemui pada Program Jualan Prihatin Rakyat di tapak pasar malam Berjaya Park Seksyen 32 di sini hari ini yang bermula pada 4 petang hingga 8 malam.

Tambah Muhd Aliff Farhan, beliau akan menambah pekerja pada Rabu dan Jumaat ini bagi melancarkan proses jualan.

“Kita juga ada menyediakan perkhidmatan memotong ayam bagi memudahkan masyarakat memasak juadah,” katanya.

Semalam, EXCO pemodenan dan asas tani memaklumkan jualan murah barangan asas secara besar-besaran akan bermula hari ini sehingga 2 Mei di 29 lokasi seluruh Selangor.

Ir Izham Hashim berkata Jualan Prihatin Rakyat sempena Aidilfitri menawarkan 23,200 ayam segar, 23,200kg daging pejal, tulang lembu (16,700kg), telur ayam gred B (18,200 papan), minyak masak paket (25,200 kg) serta 1,500kg ikan selayang dan kembung (QFish).

Inisiatif itu membabitkan kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor dan Kohijrah.


Pengarang :