Empat warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket tawaran pekerjaan di Kemboja selamat tiba di tanah air pada 4.35 petang, 19 April 2022. Foto Facebook Wisma Putra
AGENDANASIONAL

Baki empat rakyat Malaysia terkandas di Kemboja selamat kembali

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Baki empat daripada 16 warganegara Malaysia yang mendakwa menjadi mangsa sindiket tawaran pekerjaan di Kemboja selamat tiba di tanah air pada 4.35 petang semalam, dari Phnom Penh.

Menurut Kementerian Luar, empat individu tersebut tidak dapat menyertai penerbangan pulang 12 yang lain pada 11 April kerana mereka didapati positif Covid-19 sebelum berlepas.

“Mereka dibenarkan pulang ke Malaysia setelah selesai menjalani kuarantin tujuh hari di Kemboja dengan dipantau Kedutaan Besar Malaysia di negara itu,” demikian menurut Wisma Putra menerusi catatan di akaun Facebook rasmi, hari ini.

Kementerian Luar merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Kemboja dan kerjasama erat yang diberikan Kedutaan Besar Malaysia di negara itu dalam memudahcara urusan yang berkaitan bagi membolehkan mereka kembali ke tanah air dengan selamat.

Selain itu, Wisma Putra juga menasihatkan warganegara Malaysia supaya sentiasa berhati-hati dengan tawaran pekerjaan di luar negara bagi memastikan mereka tidak terjebak dalam sindiket sedemikian.

Perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negara sentiasa bersedia memberikan nasihat sewajarnya berhubung perkara itu serta membantu warganegara Malaysia yang berada dalam kesulitan.

Kejayaan membawa pulang semua rakyat Malaysia itu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) adalah hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), polis Kemboja, Polis ASEAN (Aseanapol) dan Wisma Putra.

-BERNAMA


Pengarang :