Timbalan Pengarah Kejurulatihan Rexy Mainaky (tengah) bersama barisan pemain badminton negara pada sesi latihan skuad kebangsaan di Pusat Konvensyen Setia City pada 13 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

BAM: Ketua jurulatih beregu campuran ditawar lanjutan kontrak tiga tahun lagi

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah memberi tawaran lanjutan kontrak baharu kepada ketua jurulatih beregu campuran, Paulus Firman sejak Januari lepas.

Walau bagaimanapun, Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM Rexy Mainaky berkata Paulus setakat ini masih belum memberi kata putus mengenai masa depannya bersama badan yang memayungi sukan badminton negara itu selepas kontraknya dijangka tamat hujung bulan ini.

Bekas jaguh beregu lelaki dunia dari Indonesia itu berkata beliau ketika ini masih berunding bersama rakan senegaranya itu, yang ketika ini sedang bercuti selama seminggu sejak Ahad lepas, sama ada berminat untuk melanjutkan kontrak dan terus menabur bakti bersama BAM selama tiga tahun lagi.

“Sekarang tetap berbicara dengan Paulus…kita sudah tawar dari Januari, bukan tawaran minit akhir kerana kita perlu uruskan permit kerjanya…terpulang kepada Paulus sendiri terima atau tidak (lanjutan kontrak),” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini hari ini.

Sebelum ini, BAM kehilangan beberapa jurulatih utama antaranya jurulatih perseorangan wanita Indra Wijaya meninggalkan BAM untuk melatih perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia yang menjadi pemain profesional Januari lepas dan jurulatih beregu wanita Chan Chong Ming meletak jawatan pada Disember lepas.

Bulan lepas, jurulatih beregu lelaki Flandy Limpele pula meninggalkan BAM setelah memutuskan untuk tidak melanjutkan kontraknya dengan persatuan itu selepas 1 April.

Sementara itu, Rexy memberitahu beliau masih belum menetapkan calon sesuai yang boleh mengambil alih tempat Flandy mahupun Paulus, sekiranya beliau tidak mahu menyambung kontrak baharu kerana mahu menumpukan kepada persiapan skuad negara mengharungi kempen Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand, dijadual 8-15 Mei ini selain Kejuaraan Badminton Asia (BAC) di Manila, Filipina dari 26 April-1 Mei ini.

“Setakat ini fokus apa yang ada di sini, andai kata ambil jurulatih baharu sama ada mereka sudah cukup sedia dengan perancangan kita atau sebaliknya…waktu sudah suntuk, BAC pula makin hampir,” katanya.

Dalam pada itu, Rexy mahu melihat pemain yang mewakili negara pada kejohanan BAC akan menggunakan peluang dimiliki untuk menjadikannya sebagai medan persediaan menjelang pentas Piala Thomas serta Piala Uber nanti.

Ini kerana, beliau difahamkan banyak negara akan mempertaruhkan barisan terkuat mereka pada kejohanan bertaraf Super 1000 itu.

Beliau pada masa sama memaklumkan beregu lelaki profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi akan mula berlatih di ABM sebagai persiapan menghadapi Piala Thomas 2022.

Mengenai Piala Uber, Rexy memaklumkan tiga gandingan negara iaitu Pearly Tan-M.Thinaah, Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing, dan Low Yeen Yuan-Valeree Siow, masih menjadi taruhan untuk disenaraikan bagi misi di Bangkok nanti.

– BERNAMA


Pengarang :