Orang ramai membeli barang keperluan asas bagi membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri dalam Karnival Jualan Mega Prihatin anjuran PKPS di Kampung Pandan, Ampang Jaya pada April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bantu rakyat berjimat, jualan ayam dan telur murah diterus selepas Aidilfitri

AMPANG, 30 APRIL: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) meneruskan program jualan murah antaranya ayam dan telur selepas Aidilfitri susulan sambutan menggalakkan orang ramai.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata inisiatif tersebut dianjurkan di beberapa lokasi termasuk Dewan Undangan Negeri atas permintaan wakil rakyatnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Ini merupakan usaha PKPS membantu rakyat negeri ini berbelanja harga rendah. Menerusi program ini, kita akan menggunakan lori untuk menjual barangan keperluan asas ke kawasan terpilih.

“Selain ayam dan telur, produk lain antaranya hasil tani segar dari Selangor Fruit Valley turut ditawar kepada rakyat dengan harga rendah,” katanya.

Terdahulu beliau meninjau Jualan Prihatin Rakyat Mega Pandan Indah bersama EXCO Pemodenan dan Asas Tani Ir Izham Hashim.

Hari ini, sebanyak empat lagi lokasi jualan dibuka PKPS iaitu di Jalan Pandan 8, Pandan Jaya; Padang Awam Batu Caves, Gombak; Stadium Shah Alam serta Stadium Sabak Bernam.

Program Jualan Prihatin Rakyat dilancar sejak 28 Februari lalu dan sempena Aidilfitri Kerajaan Selangor melaksanakan jualan besar-besaran melibatkan 29 lokasi bermula 25 April hingga 2 Mei.

Inisiatif sepanjang seminggu itu menawarkan 23,200 ayam segar, 23,200 kilogram(kg) daging pejal, tulang lembu (16,700kg), telur ayam gred B (18,200 papan), minyak masak paket (25,200 kg) serta 1,500kg ikan selayang dan kembung (QFish).

Orang ramai membeli barang keperluan asas bagi membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri dalam Karnival Jualan Mega Prihatin anjuran PKPS di Kampung Pandan, Ampang Jaya pada April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :