Program Jualan Prihatin Rakyat di Pusat Khidmat ADUN Permatang, Kuala Selangor pada 23 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDAAGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Barang jualan habis 30 minit sebelum program berakhir

KUALA SELANGOR, 23 APRIL: Semua barangan keperluan asas yang dipasarkan dalam Jualan Prihatin Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang habis dijual 30 minit sebelum program berakhir.

Pengurus Jualan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata ia membabitkan 500 ekor ayam, 500 papan telur, 50 kilogram (kg) daging, selain sayur-sayuran, buah-buahan dan minyak masak.

Menurut Izzul Fadhli Hamzah, jualan bermula jam 10 pagi dan dijadualkan tamat pada 1 tengah hari mendapat sambutan menggalakkan penduduk setempat yang mahu mendapatkan barangan pada harga murah.

“Hanya dalam tempoh sejam setengah, sebanyak 70 peratus produk yang dibawa ke sini berjaya dijual. Barangan seperti ayam, telur dan daging paling menjadi tumpuan.

“Penduduk menyambut baik program ini malah mereka minta supaya ia diadakan sekali lagi. Namun, kita sedang memberi fokus terhadap persiapan jualan mega akhir bulan ini sempena Aidilfitri,” katanya ketika ditemui di pekarangan pusat khidmat masyarakat (PKM) Permatang di sini hari ini.

Selain itu, beliau turut memaklumkan pihaknya menawarkan harga promosi bagi barangan bukan kawalan pada penghujung program jualan di setiap lokasi.

“Jika jumlah pengunjung semakin berkurang ketika waktu operasi hampir tamat, kita mula melelong barangan kering seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan beras.

“Biasanya jika satu pek buah berharga RM5, kita akan jual kepada pelanggan tiga pek RM10. Langkah ini mampu menarik lebih ramai pelanggan,” katanya.

Program Jualan Prihatin Rakyat yang dilancar pada 28 Februari lalu diadakan setiap hujung minggu di 64 kawasan di seluruh negeri bagi meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Sebanyak 10,000 ayam, 3,100 kg daging segar, 6,200 kg ikan kembung dan selayang serta 315,000 biji telur gred B dijual sepanjang program berkenaan.

Menerusi program itu, ayam standard dijual pada harga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 perkilogram), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 per pek).


Pengarang :