Bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa meninggal dunia pada usia 66 tahun di Hospital Dublin, Ireland pada Khamis. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bekas KSN Tan Sri Ali Hamsa meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa meninggal dunia pada usia 66 tahun di Hospital Dublin, Ireland pada Khamis.

Perkara berkenaan disahkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan hari ini.

Menyifatkan Ali sebagai tokoh besar dalam perkhidmatan awam negara, Mohd Zuki berkata Ali di sepanjang kariernya telah menabur bakti di pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan sejak memulakan khidmatnya di Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada 1981.

Ini katanya, termasuk di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pengangkutan, Unit Perancang Ekonomi, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Jabatan Perkhidmatan Awam dan Unit Kerjasama Awam Swasta di Jabatan Perdana Menteri.

“Sesungguhnya, pemergian beliau pada bulan Ramadan yang mulia ini merupakan satu kehilangan besar kepada negara dan perkhidmatan awam.

“Semoga Allah SWT merahmati dan menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.

Ali yang merupakan anak jati Johor meninggalkan isteri iaitu Puan Sri Rohani Abdullah dan empat orang anak.

Allahyarham yang berkhidmat sebagai KSN selama enam tahun dari 2012 juga pernah memegang jawatan sebagai pengerusi Program Perumahan 1Malaysia, ahli Jawatankuasa Pakar Pentadbiran Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN CEPA) dan pengerusi Institut Integriti Malaysia.

– BERNAMA


Pengarang :