Exco Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Zawawi Ahmad Mughni melawat program Jualan Prihatin Rakyat anjuran PKPS di Kota Raja, Klang pada 24 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAAGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Buah, sayur dijual harga promosi, ayam, daging habis kurang 40 minit

KLANG, 24 APRIL: Program jualan murah barang keperluan asas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis mendapat sambutan apabila daging segar dan ayam habis dijual kurang dari satu jam.

Pengurus kanan pemasaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkata sebanyak 60 kilogram daging segar dan 350 ekor ayam berjaya dijual masing-masing dalam tempoh 25 minit dan 40 minit.

“Alhamdulillah sambutan diterima amat menggalakkan dan dianggarkan 400 penduduk datang ke jualan murah ini.

“Terima kasih juga kepada YB (Mohd Zawawi Ahmad Mughni) yang turut membantu menguar-uarkan program ini kepada masyarakat setempat,” kata Mohd Fazir Abd Latif kepada Selangorkini.

Tambahnya, susulan bekalan ayam dan daging segar habis lebih awal, PKPS membuat jualan terbuka dengan menawarkan harga lebih murah kepada masyarakat.

“Disebabkan habis awal, kita menjual barangan lain pada harga promosi iaitu sayur-sayuran pada harga RM2 sebungkus berbanding RM3 manakala minyak masak RM2 sepaket dan buah-buahan RM5 sepaket.

“Ia adalah usaha membantu orang ramai terutama mereka yang tidak dapat membeli ayam dan daging,” katanya.

Program Jualan Prihatin Rakyat dilancar pada 28 Februari lalu dan ia diadakan setiap hujung minggu di 64 kawasan di seluruh negeri bagi meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Menerusi program itu, ayam standard dijual pada harga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 perkilogram), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 per pek).

Sempena Aidilfitri ini, jualan murah barangan asas secara besar-besaran akan diadakan mulai esok sehingga 2 Mei ini di 29 lokasi seluruh Selangor.


Pengarang :