Lelaki menyamar pegawai Kementerian Kesihatan perdaya wanita lebih RM130,000.
AGENDANASIONAL

Bukit Aman siasat pegawai wanita rakam serbuan pusat hiburan ke TikTok

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman diarah membuat siasatan secara menyeluruh berhubung seorang pegawai polis wanita membuat rakaman video secara langsung menerusi aplikasi TikTok ketika operasi di sebuah pusat hiburan.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain berkata setakat ini pihaknya tidak menerima laporan namun meminta JIPS melakukan siasatan dalaman.

Beliau berkata tindakan pegawai polis wanita yang mengetuai operasi berkenaan membuat TikTok secara langsung adalah tidak wajar.

“Untuk apa dia (pegawai polis wanita) buat siaran langsung TikTok semasa operasi? Perkara itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu Pengarah JIPS Bukit Aman Datuk Azri Ahmad berkata pihaknya sudah mengambil maklum dan siasatan lanjut berhubung perkara itu sedang dijalankan.

“JIPS akan menyiasat dari segi tatacara operasi piawai (SOP) yang digunakan oleh Narkotik (Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik) semasa serbuan. Maksud saya adakah peraturan secara umum membenarkan (membuat siaran langsung TikTok).

“Siasatan dibuat mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Ini adalah aduan dan arahan pertama kali JIPS terima kerana ia lain daripada kesalahan sebelum ini seperti anggota menari ketika beruniform,” katanya.

Berhubung arahan larangan penggunaan media sosial ketika bertugas, Azri berkata beliau tidak dapat mengulas lanjut dan pihaknya akan meneliti semula bentuk arahan itu.

Media melaporkan pada Ogos 2020 PDRM pernah mengeluarkan arahan melarang pegawai kanan dan pegawai rendahnya memuat naik perkongsian peribadi semasa berpakaian seragam di platform media sosial.

Azri berkata pihaknya menerima banyak kecaman daripada netizen yang mengkritik tindakan pegawai polis wanita berkenaan yang disifatkan mencemarkan imej PDRM dan dibuat semata-mata atas tujuan publisiti.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi satu minit 38 saat yang memaparkan pegawai wanita berpakaian jaket seragam operasi PDRM berpangkat ASP menerangkan tentang sebahagian skop kerjanya menjalankan serbuan dan pemeriksaan.

-BERNAMA


Pengarang :