Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Mohd Najwan Halim (kanan) memberi nasi Arab kepada anak yatim sambil diperhatikan Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Mohd Rashidi Ruslan (berdiri, kanan) dan Chef Ammar (berdiri, dua kanan) dalam program sumbangan juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Seksyen 13, Shah Alam pada 21 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Chef Ammar rai anak yatim, sumbang lebih 1,000 pek juadah nasi Arab

SHAH ALAM, 21 APRIL: Peniaga nasi arab terkenal Chef Ammar menyumbang 1,037 pek juadah berbuka puasa kepada anak yatim di kawasan bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), hari ini.

Sumbangan bersama pihak berkuasa tempatan itu dan Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Najwan Halimi serta Yayasan Islam Darul Ehsan diserahkan di tapak Bazar Ramadan Seksyen 13, di sini.

Timbalan Datuk Bandar Mohd Rashidi Ruslan berkata sumbangan terbabit merupakan idea Chef Ammar dan diagihkan kepada 20 rumah kebajikan anak yatim.

Katanya inisiatif itu sebagai langkah meraikan golongan berkenaan ketika Ramadan sekali gus tidak mahu anak yatim merasa terpinggir.

“MBSA sentiasa komited melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama individu atau pertubuhan untuk membantu anak-anak yatim ini.

“Sebelum ini kita turut melakukan program sama dengan beberapa syarikat korporat malah majlis sendiri mengeluarkan peruntukan tertentu bagi membantu golongan memerlukan,” katanya.

Bermula awal Ramadan, nasi arab dijual Chef Ammar di bazar berkenaan dan Bazar USJ 4, Subang Jaya tular di media sosial susulan harganya yang dikatakan terlalu tinggi antara RM25 hingga RM50 sebungkus.

Meskipun begitu, masih ramai pelanggan yang membelinya dan sanggup beratur panjang lebih dua jam bagi mendapatkan juadah berkenaan.


Pengarang :