Chef Ammar (kiri) membuat persiapan membungkus nasi Arab dalam program sumbangan juadah berbuka puasa kepada anak yatim anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersama Chef Ammar di Bazar Ramadan Seksyen 13, Shah Alam pada 21 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Chef Ammar tidak patah semangat dikecam, tekad luas perniagaan nasi Arab

SHAH ALAM, 21 APRIL: Peniaga nasi Arab, Chef Ammar Al-Ali atau Chef Ammar mengakui berdepan pelbagai cabaran ketika berniaga Ramadan ini termasuk kecaman warganet.

Bagaimanapun lelaki berasal dari Palestin itu tidak menghiraukan segala dugaan dan tohmahan sebaliknya terus kuat demi kelangsungan perniagaannya.

“Kita buat kerja dengan baik. Kita lakukan apa yang termampu untuk luaskan perniagaan. Alhamdulillah dengan rezeki tahun ini walaupun terpaksa berdepan banyak cabaran.

“Dengan dugaan ini, ramai juga individu yang boleh berkongsi rezeki. Mereka jual makanan yang dibeli dari saya. Saya tak marah kerana itu rezeki mereka,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan lebih 1,000 pek juadah berbuka puasa kepada 20 rumah kebajikan anak yatim di Bazar Ramadan Seksyen 13 di sini, hari ini.

Bermula awal Ramadan, pemilik Chef Ammar Xpress Souk Cafe tular di media sosial susulan menjual nasi Arab dengan harga tinggi antara RM25 hingga RM50 sebungkus.

Terbaharu Chef Ammar mendakwa gerai di Bazar Ramadan USJ 4, Subang Jaya disihir dan terpaksa menutup operasi demi keselamatan keluarga.

Chef Ammar berkata jumlah pelanggan yang ramai menyebabkan dia terpaksa menggunakan khidmat Jabatan Sukarelawan (RELA) bagi memastikan tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi.

“Minggu pertama tak ramai yang beratur tetapi lepas berita tular, ramai yang datang. Pada 10 Ramadan kita panggil RELA serta beberapa individu untuk kawal pelanggan,” katanya.

Sementara itu beliau berkata sumbangan nasi arab dilakukan sejak 2018 kepada surau dan masjid namun tahun ini diagihkan kepada rumah kebajikan anak yatim.

“Kita mahu kelainan kali ini. Jadi kita sasar golongan anak yatim untuk disantuni,” katanya.


Pengarang :