Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Kajang di Dewan Sri Cempaka Saujana Impian, Kajang pada 26 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Covid-19: Jangkitan harian 9,673 kes, kategori serius 48 kes

SHAH ALAM, 16 APRIL: Jumlah jangkitan harian Covid-19 menurun kepada 9,673 kes semalam berbanding 10,413 kes hari sebelumnya, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes serius kategori 3, 4 dan 5 kekal rendah iaitu 48 kes atau 0.5 peratus manakala kategori 1 (tanpa gejala) dan 2 (gejala ringan) 9,625 kes atau 99.5 peratus.

“Pertambahan kes semalam menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan adalah 4,372,697 kes. Daripada jumlah keseluruhan ini, sebanyak 113,175 kes masih aktif.

“Sebanyak 110,385 kes menjalani kuarantin kendiri di rumah, 2,281 kes dirawat di hospital serta 357 kes dirawat di pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC),” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata sebanyak 14,267 kes kes sembuh dicatatkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan sembuh 4,224,125 kes.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan lapan kluster baharu dikesan menjadikan jumlah keseluruhan kluster aktif adalah 116.

Berikut adalah pecahan pesakit mengikut kategori yang dicatatkan semalam:

• Kategori 1: 5,394 kes (55.76 peratus)
• Kategori 2: 4,231 kes (43.74 peratus)
• Kategori 3: 21 kes (0.22 peratus)
• Kategori 4: 17 kes (0.18 peratus)
• Kategori 5: 10 kes (0.10 peratus)


Pengarang :