Laluan yang menghubungkan Malaysia-Singapura kelihatan lengang namun trafik dijangka meningkat sebaik pembukaan semula sempadan darat pada 1 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDAGLOBAL

Covid-19: Singapura turunkan tahap DORSCON kepada kuning mulai 26 April

Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 23 APRIL: Singapura akan menukar tahap Sistem Tindak Balas Wabak Penyakit (DORSCON) daripada jingga kepada kuning mulai 26 April, memandangkan jangkitan Covid-19 tempatan semakin pulih, menurut Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian (MTF) mengenai COVID-19.

“Kami telah meningkatkan tahap DORSCON kepada jingga pada Februari 2020 akibat peningkatan kes tempatan pada masa itu dan kami menjangkakan aktiviti harian terganggu memandangkan penguatkuasaan kuarantin bagi membendung penularan,” kata pengerusi bersama MTF Gan Kim Yong pada sidang media secara maya semalam.

Gan yang juga Menteri Perdagangan dan Industri republik itu, berkata hari ini keadaan telah berubah “meskipun virus itu lebih mudah menular, kebanyakan jangkitan tidaklah teruk, hasil daripada kadar vaksinasi yang tinggi.”

“Protokol penjagaan kesihatan yang dipermudahkan dan SMM (Langkah Pengurusan Selamat) dijangka meminimumkan gangguan kepada kehidupan. Oleh itu, kini masa yang sesuai untuk menurunkan tahap DORSCON kepada kuning,” katanya.

Rangka kerja DORSCON memberi petunjuk mengenai situasi penyakit semasa.

Sementara itu, MTF mengumumkan TraceTogether (TT) (sama seperti MySejahtera) dan SafeEntry (SE) tidak lagi dikuatkuasakan mulai 26 April 2022.

Kebanyakan tempat tidak lagi memerlukan orang ramai mendaftar masuk menggunakan aplikasi atau token TT, kecuali acara besar membabitkan lebih 500 peserta pada satu-satu masa serta pusat hiburan malam tertentu, di mana semakan SMM Mengikut Vaksinasi (VDS) masih diperlukan ketika masuk.

Keupayaan TT dan SE akan dikekalkan bagi menjalankan semakan VDS, serta membolehkannya meningkatkan pengesanan kontak rapat dengan pantas sekiranya ia perlu berbuat demikian sebagai tindak balas kepada kemunculan varian baharu.

“Oleh itu, orang ramai amat digalakkan untuk menyimpan aplikasi TT serta token TT mereka dalam telefon,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :