Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen Kuala Lumpur pada 1 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Rasuah beli kapal selam, Anwar desak kerajaan dakwa pihak terlibat

SHAH ALAM, 28 APRIL: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak kerajaan menyatakan pendirian berhubung skandal transaksi penjualan kapal selam kepada Malaysia pada 2002 yang dibicarakan di Paris, Perancis.

Ketua pembangkang berkata kerajaan juga perlu menjelaskan bagaimana pihak yang didakwa terlibat dengan isu rasuah tersebut dapat dihadapkan ke muka pengadilan di negara ini.

“Saya meneliti laporan terkait Mahkamah Perancis yang mendakwa syarikat aset pertahanan, Thales kerana terbabit dalam skandal rasuah transaksi penjualan kapal selam kepada Malaysia pada 2002.

“Kes ini berlangsung dan dibicarakan di Paris, Perancis, dan pihak berkuasa Malaysia seolah ambil ringan dan aspek keadilan nampaknya tidak menjadi isu besar untuk disegerakan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada 2002, Malaysia memperoleh dua kapal selam kelas Scorpene dan sebuah lagi daripada kelas Agosta daripada DCN International (DNCI), anak syarikat Kumpulan Thales.

Semalam, Thales mengesahkan mereka disiasat secara rasmi oleh pihak berkuasa Perancis sejak 18 Januari. Siasatan awal pula bermula sejak Mac 2010 lagi.

Dakwaan itu timbul selepas kumpulan hak asasi negara ini Suara Rakyat Malaysia (Suaram) membuat aduan di mahkamah Perancis pada 2009 dan 2010.


Pengarang :