Nurdayana Batrisya Mohamad Nasir lebih gemar membaca buku yang boleh dipegang secara fizikal berbanding e-book atau bahan bacaan dalam talian lain. Foto Facebook BERNAMA
PERSONALITIRENCANA

Dari buku ke TikTok, gadis raih ratusan ribu tontonan

Oleh Soon Li Wei

Artikel ini sempena Hari Buku Sedunia yang diraikan pada 23 April setiap tahun.

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Menurut beberapa kajian pada 2019, secara puratanya rakyat Malaysia membaca hanya dua buah buku setahun tetapi amat jauh bezanya dengan Nurdayana Batrisya Mohamad Nasir, 21.

‘Pencinta buku’ yang dilahirkan di Sungai Petani, Kedah dan kemudiannya dibesarkan di kota metropolitan Kuala Lumpur ini membaca sebanyak 85 buah buku setahun!

Ketika ramai yang mungkin mengeluh terkurung di rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sepanjang tempoh dua tahun beberapa siri PKP itu, beliau yang juga seorang usahawan menghabiskan masa membaca koleksi bukunya, kebanyakannya novel fiksyen dan romantika.

“Saya meletak sasaran membaca sekurang-kurangnya 60 buah buku setahun, tetapi saya pecah rekod tahun lalu (2021) dan habiskan membaca 85 buah buku. Untuk tahun ini, setakat ini sudah 20 buah buku saya baca,” Nurdayana berkongsi hobi membacanya dengan Bernama baru-baru ini.

Di samping membaca buku, Nurdayana yang turut cenderung melayari TikTok menjumpai beberapa video yang menarik selain daripada sumber hashtag ‘BookTok’ dan mula menghasilkan videonya sendiri. Dalam tempoh beberapa bulan, bakat anak muda ini dalam bidang pengeluaran video mula bercambah.

Akaun TikTok Nurdayana iaitu @orchidslibrary, yang dimulakan pada April 2020 setakat ini berjaya menarik seramai 215,100 orang pengikut di samping mendapat ratusan ribu ‘view’ dan ada ketika mencecah lebih sejuta.

Buku kecintaan keluarga

Anak bongsu daripada dua beradik ini mengikuti trend terkini serta idea yang viral dalam media sosial untuk berkongsi koleksi bukunya dengan memuat naik video serta gambar di samping menggunakan akaun instagramnya.

“Sebagai pecinta buku saya mahu terus berkongsi kecintaan saya membaca buku dan berharap menjadi insirasi kepada orang lain untuk menyemai minat membaca,” katanya yang mesra dipanggil Dayana.

Minat membaca bermula sejak Nordayana kecil lagi dan tidak seperti kanak-kanak lain yang leka menonton televisyen atau bermain games, buku adalah teman sejatinya. Sekiranya terjumpa perkataan baharu, pasti dia akan bertanya kepada ahli keluarganya makna perkataan berkenaan.

“Ayah dan ibu saya sememangnya pencinta buku, malahan saya boleh katakan semua ahli keluarga saya pencinta buku tetapi kalau ditanya siapa yang memberi inspirasi untuk saya menjadi pencinta buku, saya boleh katakan datuk saya.

“Saya masih ingat lagi, semasa saya kecil, datuk saya mengalakkan saya membaca suratkhabar dan jika saya tak tahu makna apa-apa perkataan, datuk suruh saya tandakan perkataan itu terutama perkataan baharu. Daripada situ saya mula minat membaca,” katanya.

Datuk Nordayana ialah bekas Panglima Tentera Darat Ke-15, Jen (B) Tan Sri Che Md Noor Mat Arshad yang meninggal dunia pada tahun 2019 ketika berusia 76 tahun.

Nurdayana memiliki mini perpustakaan di kamar tidurnya inspirasi daripada filem ‘Beauty and The Beast’. Foto Facebook BERNAMA

Daripada ‘The Wimpy Kid Series’ kepada trilogi fiksyen

Nurdayana mula membaca buku fiksyen sewaktu berada di prasekolah dan buku fiksyen pertama ialah siri ‘Diary of a Wimpy Kid’.

“Masa itu memang trend kanak-kanak baca buku fiksyen itu termasuk saya,” katanya yang menambah, buku berkenaan adalah mengenai Greg Heffley, seorang pelajar middle school yang menceritakan perihal kehidupan hariannya dalam sebuah diari.

Buku paling Nurdayana sukai ialah ‘The Infernal Devices’ trilogy oleh Cassandra Clare, sebuah buku fantasi sejarah dan paranormal.

“Saya mudah jatuh cinta dengan apa sahaja buku yang ada kaitan dengan romantika. Watak paling saya minati dalam buku itu ialah William Herondale, watak fiksyen pertama yang saya jatuh cinta sehingga sekarang. Saya suka buku itu kerana dia.

“Saya masih ingat saya baca buku itu ketika berumur belasan tahun dan habiskan keseluruhan trilogi dalam masa seminggu. Saya berasa begitu bangga dengan diri saya ketika itu. Bagi saya itu pencapaian terbesar saya,” katanya.

Koleksi buku

Menurut analisis yang dibuat oleh pangkalan e-dagang Poland – Picodi pada 2019, Malaysia berada di tangga keenam untuk kategori pembelian buku tertinggi dunia.

Nurdayana boleh dikatakan antara mereka yang banyak berbelanja untuk membeli buku bagi menambah koleksi buku yang disusun kemas di ‘sudut membaca’ di kamar tidurnya.

“Buku memang hobi yang mahal dan jika anda tanya saya berapa saya belanja untuk membeli buku dalam sebulan atau dua, saya boleh katakan sekurang-kurangnya RM500.

“Biasanya saya beli sahaja dan tak kira berapa saya belanja. Seperti juga sesetengah orang yang buat sesuatu dan tak fikir apa yang mereka lakukan,” tambahnya.

Apabila ditanya mengenai koleksi buku yang ada setakat ini, beliau menganggarkan 200 atau 300 buah buku. Buku paling mahal yang beliau beli ialah RM110.

Seperti pencinta buku lain, Nurdayana lebih suka membaca buku yang boleh dipegang secara fizikal berbanding e-book atau bahan bacaan dalam talian lain.

“Ada kawan saya yang cuba menyakinkan saya untuk membaca e-book atas alasan menjimatkan, tapi saya masih tak suka. Saya mahu pegang buku, buka setiap lembaran dan bersihkan jika berhabuk.

“Bagi saya buku ini macam teman. Bagi saya, kebanyakan pencinta buku lazimnya lebih memilih buku daripada e-book.

“Saya suka beli, saya suka memiliki buku dan saya suka bawa buku ke mana sahaja saya pergi, walaupun berat tetapi buku adalah barangan berharga saya, ” katanya.

Akaun TikTok Nurdayana iaitu @orchidslibrary, yang dimulakan pada April 2020 setakat ini berjaya menarik seramai 215,100 pengikut di samping mendapat ratusan ribu ‘view’ dan ada ketika mencecah lebih sejuta. Foto Facebook BERNAMA

Impikan kafe buku

Berkongsi dengan Bernama mengenai ‘sudut membaca’ di kamar tidurnya, Nurdayana berkata ia adalah tempat istimewa dan amat selesa baginya untuk santai membaca buku.

“Ia seperti mini perpustakaan untuk saya, ada rak buku yang dibuat khas ala perpustakaan dalam cerita Beauty and the Beast. Ada tangga untuk memudahkan saya mencapai buku di rak yang tinggi.

“Bangun bangun dan melihat susunan buku yang mengandungi pelbagai memori yang saya kumpul selama ini begitu bermakna bagi saya,” katanya sambil menambah, kebanyakan koleksi bukunya dibeli daripada kedai buku dalam talian, kedai buku, Carousell dan Shopee di samping hadiah kawan dan keluarganya sejak 2014.

Impian Nurdayana adalah untuk mempunyai kafe buku dan dijangka akan menjadi kenyataan menjelang penghujung tahun ini. Menurut beliau, ‘Orchids Library Cafe’, mengambil sempena nama media sosialnya sedang diubahsuai dan terletak di Lembah Klang.

Kafe berkenaan akan menyediakan minuman kopi, smoothies, pencuci mulut dan tiada makanan berat. Muzik lembut juga akan dimainkan untuk mewujudkan suasana damai.

“Saya suka membaca di tempat yang ramai orang dengan alunan muzik. Saya tak kisah jika suasana agak bising kerana ia membolehkan saya fokus kepada buku yang saya baca.

“Satu lagi tabiat saya apabila mahu membaca, saya mesti memegang pen atau pensil untuk memudahkan saya menulis apa yang datang dalam fikiran saya ketika membaca. Bagi kebanyakan yang membaca buku, buku itu adalah jurnal atau diari mereka.

“Sudah tentunya sebagai pencinta kopi, minum secangkir kopi dengan haruman lilin atau humidifier dengan buku di tangan, ini masa santai yang indah untuk saya apabila saya membaca di rumah,” katanya.

Di samping menyediakan buku untuk bacaan pengunjung ke kafenya, Nordayana juga akan mendapatkan sumbangan buku untuk mengisi rak buku yang disediakan.

Tip baca buku

Untuk yang belum ada minat membaca, Nurdayana ingin berkongsi tips supaya dapat mencambahkan minat membaca.

Banyak menonton video booktube di Youtube memberi inspirasi untuk meningkatkan minat membaca pada ketika beliau masih kecil remaja.

“Ramai pembaca di luar sana yang menghasilkan content seperti reading vlogs, book haul videos dan booktokkers di TikTok.

“Bagi mereka yang benar-benar mahu menjadi pencinta buku, mulakanlah langkah ini dan apabila semangat anda sudah berkobar-kobar untuk membaca, kunjungilah kedai buku.

“Anda boleh juga mendapat panduan untuk mencari buku yang anda kehendaki dengan melayari Goodreads.com. Saya pasti apabila minat membaca sudah bercambah, anda takkan berhenti untuk membaca, akan terus membaca dan membaca,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :