Orang ramai berpusu-pusu merentasi Tambak Johor apabila sempadan Malaysia-Singapura dibuka jam 12 tengah malam pada 1 April 2022. Mulai hari ini, Malaysia beralih ke fasa endemik dengan pembukaan semula sempadan negara yang ditutup sebelum ini akibat penularan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL RENCANA

Dari pandemik ke endemik: Menyingkap kisah melawan Covid-19

Mulai hari ini, orang ramai menikmati suasana paling hampir dengan keadaan sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020 ekoran perebakan Covid-19.

Dua tahun pandemik menyaksikan pelbagai peraturan baharu diperkenal bagi membendung virus yang dikatakan merebak dari Wuhan, China sejak Disember 2019 hingga mengorbankan 6.1 orang di seluruh dunia setakat ini.

Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Mac yang mengisytiharkan negara memasuki fasa peralihan endemik mulai 1 April membuka lembaran baharu khususnya garis panduan tatacara piawai operasi (SOP).

Pun begitu, di sebalik ura-ura lebih banyak kelonggaran termasuk pemansuhan imbasan daftar masuk MySejahtera, sebahagian norma baharu antaranya pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal terus kekal hingga kini.

Penolong pengarang Khairul Azran Hussin menyingkap detik getir sepanjang pandemik berdasarkan lensa jurufoto Hafiz Othman, Fikri Yusuf, Remy Arifin dan Zakki Jilan. Sebahagian foto dipetik dari Facebook dan Bernama.

 

Pasukan polis dibantu tentera melakukan sekatan jalan raya walaupun berdepan hujan lebat di kilometer 14 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Selayang pada 23 Mac 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Kerajaan mengisytiharkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac hingga 31 Mac 2020  bagi mengekang penularan Covid-19. Sekatan jalan raya dilaksanakan seluruh negara termasuk menerusi penglibatan tentera. Tempoh PKP kemudian dilanjutkan susulan peningkatan kes.

Pada Mei 2020, kerajaan mengumumkan PKP Bersyarat dengan sebahagian besar kegiatan ekonomi dan sosial dibenarkan. PKP Bersyarat pula digantikan dengan PKP Pemulihan dengan lebih banyak kelonggaran.

 

Anggota polis dari ibu pejabat polis daerah Shah Alam bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat rondaan di sekitar perumahan di Seksyen 6 Shah Alam pada 25 Mei 2020 bagi memastikan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dipatuhi. Foto BERNAMA

Dalam tempoh penularan wabak, kerajaan tidak membenarkan orang ramai merentas negeri atau daerah bagi menyambut perayaan Aidilfitri dan Aidiladha selama dua tahun berturut-turut. Bagi mengelak kunjung-mengunjung, pihak berkuasa turut melakukan rondaan sekitar kawasan rumah bagi memastikan tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi.

 

Pengunjung perlu mengimbas kod QR menggunakan aplikasi SELangkah atau MySejahtera sebelum memasuki medan selera di pusat membeli-belah Aeon, Shah Alam pada 12 Jun 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Pada Mei 2020, Kerajaan Negeri memperkenal Aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) iaitu sistem pendaftaran keluar-masuk individu ke premis perniagaan atau jabatan kerajaan bagi menjejak jangkitan Covid-19. Inisiatif SELangkah membantu melengkapi aplikasi mobil MySejahtera dan MyTrace bagi memudahkan urusan pengesanan kontak kes Covid-19.

 

Penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam melakukan saringan suhu badan pengunjung Pasar Seksyen 6, Shah Alam pada 1 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Selangor mengubah waktu operasi beberapa perkhidmatan berkuat kuasa hari ini sehingga tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pasar borong dibenar beroperasi bermula 4 hingga 10 pagi, pasar awam (6 pagi hingga 12 tengah hari) manakala pusat servis kenderaan dan kedai alat ganti dari 9 pagi hingga 4 petang.

Operasi pasar raya, kedai runcit dan serbaneka, restoran (bawa pulang dan bungkus), perkhidmatan penghantaran makanan serta barangan runcit dan stesen minyak masing-masing dibenar beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam.

 

Pasukan petugas kesihatan menjalankan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma kepada penduduk Hulu Langat pada 12 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pada 8 April 2020, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan program Saringan Komuniti terhadap lokasi zon merah melibatkan Dewan Undangan Negeri Sungai Ramal, Kajang dan Dusun Tua.

Inisiatif tersebut diperluas ke seluruh negeri dengan mengutamakan warga emas dan golongan berisiko tinggi. Selangor juga mempelopori saringan pandu lalu bagi mengesan individu yang dijangkiti Covid-19 di negeri ini.

Selain itu, Kerajaan Selangor menubuhkan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) pada 12 Mac 2020  bagi menangani penularan Covid-19. Penubuhan itu sekali gus melengkapkan usaha kerajaan persekutuan dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menangani pandemik di negeri ini.

Badan itu dipengerusikan  bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad serta ahlinya terdiri dari pakar kesihatan antaranya bekas pengarah JKNS, Datuk Dr Khalid Ibrahim  dan pakar penyakit berjangkit negara Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.

 

Sebahagian penduduk beratur ketika pendaftaran sebelum menerima suntikan vaksin Covid-19 di Taman Murni, Sepang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 9 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGOR KINI

Selangor menjadi negeri pertama menjalankan program vaksinasi terhadap penduduk yang tinggal di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), iaitu di Mentari Court, PJS 8, Petaling Jaya.  Program vaksin percuma turut dilaksanakan di Taman Murni di Sepang,  Pangsapuri Sri Ayu di Bandar Baru Bangi serta Taman Samudera, Mukim Batu, Gombak.

 

Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada peserta program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Kajang di Dewan Sri Cempaka Saujana Impian, Kajang pada 26 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Inisiatif Vaksin Selangor (Selvax) pula diumumkan pada 30 Jun yang menyediakan 2.5 juta dos vaksin bagi mempercepat proses suntikan kepada warga emas dan golongan berpendapatan rendah (B40) serta pekerja industri

Untuk merancakkan lagi upaya menangani wabak, Kerajaan Negeri menawarkan 157,000 dos penggalak menerusi program Selvax Booster sejak 8 Disember. Setakat 24 Februari, hampir 90,000 orang mendapat manfaat.

Selangor turut menyediakan 150,000 dos suntikan untuk Selvax Remaja bagi kumpulan usia 12 hingga 17 tahun mulai 24 Oktober. Selain menyelamatkan nyawa, pemberian vaksin ini membantu membendung penularan di sekolah.

 

Kit kesihatan bernilai RM200 disediakan Kerajaan Negeri untuk kegunaan pesakit yang kuarantin di rumah. Selain panduan, ia mengandungi alat pengukur kandungan oksigen, ubat dan jangka suhu. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pada Julai tahun lepas menyalurkan lebih 7,000 kit penilaian kesihatan untuk kegunaan pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin di rumah. Setiap kit kesihatan mengandungi oximeter, ubat-ubatan, pelitup muka dan jangka suhu.

Pada 12 Ogos tahun sama, Kerajaan Selangor mengagihkan pula 60,000 kit ujian kendiri Covid-19 secara percuma kepada keluarga mangsa yang disahkan positif wabak.

 

Penggali kubur dan pasukan Persatuan Amal Valley menguruskan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang pada 23 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menubuhkan pasukan khas pengurusan jenazah mangsa Covid-19 bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kira-kira 200 sukarelawan dari beberapa badan Islam bukan kerajaan (NGOi) serta individu bekerjasama untuk mengendalikan jenazah Covid-19.

Jais menetapkan tiada bayaran dikenakan bagi pengurusan jenazah pesakit Covid-19 di negeri ini, namun waris perlu menanggung kos melibatkan tanah perkuburan mengikut ketentuan pihak berkuasa tempatan

 

Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenjarom Mohamad Ikwan Adam Azha mengikuti teknik menjawab soalan melalui portal Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di kediamannya di Jenjarom, Kuala Langat, Banting pada 4 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Seramai 9,000 pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) menerima kad modul pengenalan pelanggan (SIM) secara percuma melalui inisiatif Data Internet Selangor. Inisiatif bagi membantu pelajar dalam keluarga berpendapatan rendah tidak tercicir pelajaran selepas sesi persekolahan terpaksa ditutup beberapa kali sejak pandemik melanda.

 

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari memakaikan pelitup muka kepada pelajar ketika edaran pelitup muka percuma Selangor kepada pelajar di Sekolah Rendah Agama Islam Seksyen 19, Shah Alam pada 28 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Untuk melindungi murid sekolah susulan penularan Covid-19, sejumlah 1.3 juta pelitup muka boleh guna semula diagih kepada 995,000 pelajar di negeri ini selain mengurangkan beban ibu bapa untuk menyediakan
pelitup muka kepada anak mereka pada setiap hari.

Penyerahan ke semua sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan dan sekolah agama kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Kementerian Pelajaran turut melaksanakan sesi penggiliran pelajar untuk sesi persekolahan bersemuka bagi mengurangkan risiko penularan.

 

Suasana dalam transit aliran ringan (LRT) yang dipenuhi orang ramai pada hari pertama peralihan fasa kedua Pelan Pemulihan Negara sekitar Lembah Klang selepas kerajaan mengumumkan kelonggaran ketika tinjauan pada 10 September 2021. Foto BERNAMA

Kementerian Kesihatan Malaysia menasihati majikan untuk membenarkan amalan bekerja dari rumah memandangkan gelombang Omicron di Malaysia mula menyaksikan kes harian meningkat.

Sebagai alternatif, pekerja boleh digilirkan untuk mengurangkan bilangan pekerja yang hadir di premis dan membantu memastikan persekitaran kerja yang selamat.

 

Peniaga menyiapkan tempahan makanan yang dibuat melalui Plats dan Grab di e-dapur Bandar Utama, Damansara pada 4 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Saluran e-dagang dimulakan dengan pelancaran PLATS e-bazar iaitu bazar Ramadan digital pertama di negara ini berikutan ketiadaannya akibat penularan Covid-19.

Program itu ditambah baik menerusi PLATS 2.0 pada 11 April lalu dan Kerajaan Negeri menyasarkan lebih ramai peniaga menyertai program e-Dapur seiring perkembangan era pendigitalan serta berjalan sepanjang masa.

 

Petugas kesihatan mengekstrak sampel saringan Covid-19 bagi mengesahkan status kes di Institut Penyelidikan Perubatan, Shah Alam pada 1 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pada November tahun lepas, kerajaan memutuskan untuk memperhalusi semula peralihan ke fasa endemik susulan varian Omicron yang menyebabkan jangkitan harian di negara ini mencecah angka 30,000 kes.

Syarat peralihan fasa endemik turut mengambil kira peratusan penduduk dewasa yang mengambil dos penggalak selain jumlah penggunaan katil hospital, unit rawatan rapi (ICU) dan kapasiti ujian di makmal.

 

Jemaah memenuhi ruang solat ketika khutbah Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengumumkan kebenaran solat berjemaah di masjid dan surau dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal berkuat kuasa 1 April.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Shahzihan Ahmad berkata ketetapan itu dibuat selepas mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.


Pengarang :