BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Dari tidak tahu berbahas, Michelle Ng pantas tangani isu air, pengangkutan awam

Bertanding buat pertama kali pada usia 28 tahun dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU-14), Michelle Ng Mei Sze membuat langkah kanan apabila menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya dengan meraih 55,354 undi. Beliau juga mengganda undi majoriti kepada 48,272 berbanding PRU13 berjumlah 28,069 undi.

Kemenangan itu membawa tanggungjawab berat kepada Michelle Ng yang mengakui warga Subang Jaya mengharapkan penambahbaikan. Wartawan MUSTAKIM RAMLI menemu bual Michelle Ng untuk berkongsi kaedah penyelesaian masalah dan perancangan beliau untuk DUN berkenaan.

Boleh Yang Berhormat (YB) kongsikan bagaimana daripada seorang yang baru bergelar peguam pada 2014 boleh beralih menjadi ahli politik pada 2018?

Saya menjadi peguam kerana mahu berkhidmat dan menyumbang kepada masyarakat kerana ramai memerlukan bantuan undang-undang tetapi tidak berupaya mengupah peguam.

Natijahnya sama apabila saya menjadi wakil rakyat, sebab kita bawa prinsip dan budaya yang sama iaitu jawatan untuk menyumbang balik kepada masyarakat.
Saya tidak melobi menjadi wakil rakyat kerana waktu itu saya bekerja sebagai peguam dengan YB Gobind Singh Deo (Ahli Parlimen Puchong). Semua orang tahu beliau peguam terkenal dalam kes kebajikan dan hak asasi manusia.

Jadi dari situ, saya terdedah kepada kes-kes politik di mana ramai daripada mereka dituduh atas pelbagai kes seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), perhimpunan awam. Dari situ, saya bergaul dengan mereka.

Selepas tempoh tertentu, saya menyertai DAP. Bermula sebagai ahli, tiada niat menjadi ADN. Selepas itu dilantik setiausaha cawangan. Selang beberapa tahun, saya didekati pemimpin dan diminta mempertimbang untuk menyertai pilihan raya dan menyumbang sebagai ADN kerana faktor usia yang muda serta belum berkeluarga. Saya berterus terang tidak ada pengalaman dan minta mereka pilih individu lain.

Apabila saya meminta perkara itu dibincang 10 tahun lagi tetapi mereka mengatakan pada waktu itu mungkin saya sudah ada tanggungan dan sibuk dengan kerjaya sebagai peguam. Saya disaran berfikir semula dari sudut menyumbang sesuatu kepada negara. Selepas berfikir dan melihat pengalaman mereka yang dahulu ada benarnya.

Saya belum berkeluarga ketika bergelar wakil rakyat dan berkahwin pada usia 29 tahun, setahun selepas PRU14. Sebenarnya, ia bukan perkara yang senang kerana Subang Jaya masyarakatnya sangat aktif. Jadual padat, contohnya waktu hari raya saya terlibat hingga 14 program. Hujung minggu pun tiada masa. Suami saya perlu bersabar. Jadi kami banyakkan berkomunikasi. Kami saling menjaga satu sama lain.

Boleh kongsikan jumlah terkini pengundi di DUN Subang Jaya dan berapa ramai yang menyumbang kepada kemenangan pada pilihan raya umum lepas?

Subang Jaya mempunyai 75,000 pengundi, peratus keluar mengundi sekitar 80 peratus. Dari situ kami dapat lebih 50,000 undi. Sebelum ini, ADN ialah Hannah Yeoh, beliau banyak menyumbang kepada keputusan itu. Lebih 60 peratus pengundi adalah kaum Cina, 30 peratus Melayu dan bakinya India serta lain-lain.

Michelle Ng Mei Sze memantau kerja-kerja pemasangan paip sepanjang Koridor Selatan yang melalui Taman Muda USJ 1 dalam memastikan masalah bekalan air di Subang Jaya dapat diatasi pada 23 Februari 2022. Foto FB Michelle Ng

Dengan kemenangan besar itu, apakah harapan mereka terhadap YB? Apakah masalah yang dibangkitkan dan perlu penyelesaian segera?

Subang Jaya adalah bandar dan masalah yang sering berlaku ialah isu aliran trafik dan parkir selain air serta pengangkutan awam. Ini adalah isu terbesar di sini. Bagi isu parkir, kita berterima kasih kepada YB Ng Sze Han (EXCO Kerajaan Tempatan) kerana melaksanakan aplikasi Smart Selangor Parking. Jika dahulu ada masalah bayaran kerana isu mesin kupon rosak atau kedai jual kupon jauh. Kini tiada lagi masalah selepas adanya aplikasi tersebut.

Selain itu, kita tambah baik sistem pengangkutan awam susulan Subang Jaya jalannya sudah padat, hendak lebarkan pun susah dengan kos yang tinggi. Ia juga ambil masa agak lama mungkin lima hingga 10 tahun. Jadi, lebih sesuai dana digunakan untuk pengangkutan awam kerana lebih baik dan lestari. Bayangkan 40 kereta berbanding satu bas terhadap ruang yang diambil, maka isu kesesakan lalu lintas dapat selesai. Justeru, kaedah diguna pakai iaitu kita memohon kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (ketika Pakatan Harapan mentadbir kerajaan persekutuan) supaya kos tiket bas dalam bandar di Subang Jaya dikurangkan.

Waktu itu kosnya lebih mahal daripada GrabCar. Kita gembira apabila beliau umumkan ia dikurangkan 20 peratus pada November 2018. My50 juga diperkenal bagi pelajar dan pekerja untuk guna pengangkutan awam dengan murah. Terbaru, kita bekerjasama dengan syarikat Kumpool iaitu menggunakan van sebagai pengangkutan awam. Terdapat 200 perhentian di Subang Jaya. Sebelum ini hanya sebuah van beroperasi, kini jumlah meningkat kepada tiga.

Jika program ini berjaya, bilangan van pula bertambah, isu trafik dan parkir dapat diselesaikan. Perkhidmatan ini sudah bermula sejak tiga bulan lalu dengan caj bagi setiap hala hanya RM1. Dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ada, jumlah kapasiti penumpang boleh memuatkan enam orang dalam satu-satu masa. Selain itu, kita juga ada Bas Smart Selangor. Terdapat dua laluan yang memberi manfaat kepada lebih 5,000 penduduk.

Bagaimana pula Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) membantu golongan berpendapatan rendah (B40) selain bantuan ketika rakyat berdepan pandemik Covid-19?

Untuk IPR, yang paling hangat di sini ialah Skim Mesra Usia Emas (SMUE). Setiap dua hari, saya akan terima permohonan baharu. Dalam sebulan, secara purata 700 penerima. Jadi untuk setahun, jumlah penerima mencecah hampir 9,000 orang. Bagi Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), kita sudah penuhi kouta iaitu seramai 520 penerima tetapi sekarang program itu dinaik taraf kepada Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) dan belum bermula. Mungkin lebih ramai penerima bawah program itu.

Ketika pandemik, Kerajaan Selangor memperkenal program Vaksin Selangor (Selvax). Ia sangat popular dalam kalangan masyarakat Subang Jaya. Sebanyak 6,916 dos vaksin diberi menerusi tiga program. Bagi saya, program ini sangat baik. Kita dapat lihat keadaan kesihatan lebih baik bukan saja di Subang Jaya malah seluruh Selangor.

Ketika PKP, kita juga melaksana program bakul makanan. Sebanyak 4,397 bakul diedar kepada golongan terjejas. Selain itu, saringan Covid-19 turut dilakukan di Subang Jaya dengan 7,182 individu disaring menerusi inisiatif Kerajaan Negeri.

Michelle Ng Mei Sze menyediakan barangan keperluan asas untuk diedar kepada golongan terkesan Covid-19 di Wangsa Baiduri pada 26 Julai 2021. Foto FB Michelle Ng

Apakah cabaran utama sepanjang bergelar wakil rakyat?

Enam bulan pertama masa paling mencabar disebabkan ketika itu ia pengalaman baharu dan kelemahan agak ketara. Bayangkan hendak berbahas di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pun tidak tahu. Itulah hakikatnya. Dengan datuk bandar pun tidak kenal sebab saya orang baharu, jadi hendak selesai masalah masyarakat memakan masa sedikit.

Disebabkan 2018 tercipta sejarah berlaku pertukaran kerajaan persekutuan. Maka harapan amat tinggi dengan penduduk membuat pelbagai aduan yang mahukan penyelesaian segera. Sedangkan ketika itu pejabat dan petugas pun saya belum ada. Maka, pada bulan pertama, saya sendiri jawab panggilan telefon dan menerima aduan penduduk. Ia amat mencabar. Sampai satu tahap, saya fikir saya mengambil cabaran yang begitu besar.

Kalau kerja biasa boleh letak jawatan tetapi ini kalau undur diri kena adakan pilihan raya kecil. Jadi tiada pilihan, saya kena tabah dan bersabar. Selepas enam bulan terasa selesa sedikit kerana telah memiliki sistem kerja lebih teratur. Saya lega kerana ada kakitangan yang sangat membantu dalam tempoh mencabar itu. Saya akui waktu itu tidak sempurna. Kalau boleh saya mahu baiki segala kelemahan tetapi bila difikir semula, ia proses pembelajaran yang perlu dilalui.

Apakah perancangan jangka panjang YB untuk Subang Jaya dan mengapa ia penting buat rakyat?

Jika diberi peluang lagi untuk berkhidmat, saya akan beri tumpuan kepada isu air bagi memastikan ia dapat diselesaikan sepenuhnya. Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana selepas kejadian tiada air dalam sembilan hingga 10 kali, mereka ambil langkah segera menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Sumber Air Selangor dengan saya dilantik sebagai pengerusi. Kami bentang cadangan untuk tambah baik sistem (bekalan) air. Kerajaan Negeri mendengar dan melaksana cadangan.

Pemantauan 24 jam yang dilaksanakan memberi kesan positif. Jika sebelum ini setiap dua bulan mesti ada gangguan bekalan dan setiap kali pengagihan air dibuat, kami berdepan cacian penduduk tetapi keadaan itu perlu dihadapi. Selepas pemantauan sepenuh masa dijalankan bukan tiada masalah air tetapi jarang dan jarak masa paling lama direkod adalah lapan bulan tanpa gangguan air. Ia belum cukup sempurna dan ada ruang lagi untuk penambahbaikan.

Salah satu projek yang saya ingin laksanakan menjelang tahun hadapan adalah sambungan Horas 600 iaitu ‘off river storage’ (kolam takungan hiliran) kepada loji rawatan air (LRA). Sambungan kolam itu kepada LRA Sungai Selangor menjadi sistem sokongan (back up) iaitu jika sungai tercemar ada tangki air yang boleh digunakan tetapi ia ambil sedikit masa untuk dilaksanakan.

Ini untuk jangka panjang dan diharap ia menyelesaikan masalah air di Subang Jaya. Selain itu, projek LRA Sungai Rasa tetapi ia projek yang sukar kerana melibatkan kerajaan persekutuan selain pengambilan tanah perlu dibuat. Jika ia tidak dilaksana, margin rizab air terjejas. Setakat ini, rizab yang ada tidak sampai 15 peratus. kalau projek tergendala, rizab akan terjejas dan ia serius.

Setelah bertungkus-lumus bekerja, adakah YB yakin terpilih lagi untuk menjadi wakil rakyat?

Saya serahkan kepada pimpinan parti. Buat masa sekarang apabila kita bergaul dengan rakyat, kita diterima dan mendapat kerjasama baik. Saya harap pada PRU datang, apa yang kita lakukan selama ini dapat membantu HARAPAN.

Michelle Ng Mei Sze membantu membersihkan rumah mangsa banjir di Bukit Lanchong yang terkesan dalam bencana itu pada 23 Disember 2021.Foto FB Michelle Ng

Apakah usaha yang digerakkan pada peringkat akar umbi bagi menarik sokongan pengundi baharu termasuk Undi 18 dan pengundi pertama kali?

Undi 18 adalah perkara yang bagus. Kita perlu fikirkan cara mendekati golongan ini. Perlu fahami isu apa yang berlegar dalam kalangan mereka. Penyampaian maklumat penting bagi memastikan mereka tahu kita bersama mereka. Jika kaedah biasa tidak berjalan lancar, perlu gunakan media sosial untuk dekati golongan itu. Kita perlu aktif di ruang tersebut untuk memastikan mereka tahu usaha yang dilakukan.

Pandangan mengenai perpecahan pembangkang hingga muncul parti baharu seperti Muda, Pejuang dan Perikatan Nasional (PN)? Adakah ia menjejaskan sokongan di Selangor?

Ini adalah politik demokrasi dan perlu diterima dengan hati terbuka. Persaingan ini diharap menjadi politik matang terutama di Selangor. Saya tidak nafikan ia mencabar tetapi tidak semestinya (menjadi) perkara ini menjadi buruk. Jika dalam dunia korporat, ia mendorong syarikat-syarikat untuk menjadi lebih baik. Dengan adanya persaingan tambahan, ia macam mendorong kita ke arah tersebut, saya rasa ia perkara baik.

 


Pengarang :