Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Zamani Ahmad Mansor berucap merasmikan dialog awam Pelan Tindakan Banjir Shah Alam  (SASuD) di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 14 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Datuk bandar: Peruntuk RM150 juta laksana pelan atasi banjir di Shah Alam

SHAH ALAM, 14 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksanakan Pelan Tindakan Banjir Shah Alam  (SASuD) susulan bencana yang menjejaskan banyak kawasan pada penghujung tahun lalu.

Datuk Bandar Shah Alam berkata sejumlah RM150 juta diperuntuk dengan keutamaan melibatkan kawasan berisiko banjir seperti Sri Muda, TTDI, Taman Mesra dan Seksyen 13 terlebih dahulu.

“SASuD merangkumi tiga fasa iaitu jangka masa pendek, sederhana serta panjang. Kita akan mulakan pelan jangka pendek menerusi peruntukan RM50 juta.

“Antara langkah yang dilakukan segera ialah menaik taraf perparitan dan kolam takungan,” kata Dato’ Zamani Ahmad Mansor selepas merasmikan sesi diaolog awam SASuD di Hotel Mardhiyah di sini, hari ini.

Beliau turut melancarkan logo SASuD sebagai simbolik titik permulaan perancangan strategik dalam menyediakan penyelesaian masalah banjir di Shah Alam.

Terdahulu Zamani Ahmad ketika berucap memaklumkan MBSA menjadi pihak berkuasa tempatan pertama menyediakan pelan tindakan atasi banjir.

“Penyediaan pelan ini merangkumi matlamat pembangunan mampan iaitu air bersih dan sanitasi, industri, inovasi dan infrastruktur, bandar dan komuniti mampan serta memerangi perubahan iklim,” katanya.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember tahun lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter mengakibat banyak lokasi di Shah Alam terkesan teruk antaranya Sri Muda.


Pengarang :