Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Debat Anwar-Najib pada 12 Mei di Universiti Malaya

SHAH ALAM, 17 APRIL: Tarikh debat perdana antara Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak diadakan pada 12 Mei depan.

Program dijadualkan berlangsung pada jam 9 malam di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya (UM)

Orang ramai boleh menyaksikan debat secara langsung melalui saluran media yang akan diumum kelak atau secara fizikal di UM atas jemputan.

Perkara itu diumumkan Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Fahmi Fadzil dan Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor Isham Jalil menerusi kenyataan bersama, hari ini.

“Debat perdana ini merangkumi tiga bahagian. Pertama, berhubung permasalahan dihadapi syarikat minyak dan gas Sapura Energy Berhad sama ada perlu diselamatkan atau tidak.

“Kedua, berhubung masa depan Malaysia merangkumi aspek ekonomi, politik dan urus tadbir manakala ketiga, sesi soal jawab,” katanya.

Sebelum ini, Naib Presiden KEADILAN Rafizi Ramli mencabar Najib berdebat berhubung isu Sapura Synergy.

Cabaran dibuat selepas Najib menggesa kerajaan menyelamatkan syarikat itu yang mencatatkan kerugian lebih RM8 bilion selain isu gaji lumayan ketua pegawai eksekutifnya.

Najib kemudian menyahut cabaran debat Rafizi tetapi perlu disertai Anwar.

 

 


Pengarang :