Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Mohd Sabirin Mohd Sarbini berucap dalam Majlis Iftar Cahaya Aidilfitri di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 20 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Di sebalik pandemik, LZS kutip RM256.9 juta antara Januari hingga April

SHAH ALAM, 20 APRIL: Sebanyak RM256.9 juta zakat harta dan fitrah dikutip di Selangor dari Januari hingga semalam berbanding RM188 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Ketua pegawai eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkata perkembangan itu membuktikan komitmen umat Islam menunaikan tanggungjawab membayar zakat di sebalik kekangan pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah, jika dianggarkan peningkatan direkodkan antara lima hingga 10 peratus. Kita dapat lihat komitmen orang ramai menunaikan tanggungjawab mereka.

“Walaupun pelbagai cabaran dilalui sejak dua tahun lepas (akibat pandemik Covid-19), masih ada lagi yang berkemampuan membayar zakat. Mereka terdiri daripada pembayar baharu dan lama.

“Diharap peningkatan ini berterusan pada tahun-tahun mendatang,” kata Mohd Sabirin Mohd Sarbini ketika ditemui pada Majlis Iftar Cahaya Aidilfitri di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata bayaran zakat secara konvensional masih menjadi pilihan ramai, namun kaedah dalam talian menunjukkan perkembangan agak baik sejak negara dilanda wabak.

“Kita sedia maklum ketika pandemik ramai yang sukar bergerak, maka dari situ pengeluar zakat memulakan bayaran melalui kaedah dalam talian kerana lebih mudah, murah, cepat dan selamat.

“Namun saya tidak menafikan ramai yang memilih kaedah konvensional kerana mereka sudah terbiasa,” katanya lagi.


Pengarang :