BUDAYARENCANA

Doa pentagram

Oleh Arif Zulkifli

Dia tidak boleh membuat apa-apa bunyi langsung, kalau tidak dia akan mati. Danish baru berusia sepuluh tahun, tetapi dia sudah takutkan kematian. Tangga dituruninya perlahan-lahan. Langkahnya terjengket-jengket. Satu per satu tangga dia pijak dengan sangat lembut sekali. Dalam sehari, lebih daripada sepuluh kali jugalah dia akan melalui tangga ini — sama ada dia akan menuruninya untuk ke dapur ataupun menaikinya ke bilik tidur. Jadi dia tahu bahagian mana yang akan berkerik, bahagian mana yang senyap sahaja apabila dipijak.

Rumahnya gelap, segelap malam di luar yang nircahaya. Tiada bulan langsung yang kelihatan di langit, bintang juga hilang entah ke mana. Alam seperti memahami Danish pada waktu itu, semuanya menyenyapkan diri — tiada bunyi cengkerik atau katak yang mematikan sunyi, hatta, angin pun tidak langsung bertiup menggeserkan dedaunan. Alam seolah-olah sedang menahan nafas.

Danish sudah tiba di dapur. Matanya tepat memandang ke arah laci kabinet dapur yang paling atas sekali. Dia memicing telinga, mencuri dengar jika ada suara asing yang berbunyi — sekiranya ayahnya tiba-tiba tersedar pada waktu-waktu begini. Namun yang kedengaran hanyalah desing sunyi.

Apabila tiba di hadapan kabinet itu, dia menarik laci paling atas dengan perlahan sekali. Disebabkan ia kabinet lama, sesekali akan kedengaran bunyi geseran berkiang-kiut. Setelah memastikan keadaan masih sunyi apabila laci itu terbuka sepenuhnya, dan ayahnya masih belum bangun daripada tidur, Danish cepat-cepat mengambil lima batang lilin dan pemetik api yang tersimpan di dalam laci. Kemudian, dia cepat-cepat mendaki tangga — melalui bahagian-bahagian yang tidak berkeriut — dan membiarkan sahaja laci tadi terbuka. Dia tidak mahu ayahnya tersedar apabila dia menutup kembali laci itu. Ia akan membuatkan rancangannya pada malam itu menjadi sia-sia.

Sekembalinya dia di bilik, setelah pintu bilik dikunci, Danish mengalihkan ambal yang menutupi separuh daripada lantai biliknya ke tepi. Dia menarik laci meja belajar — kali ini dia tidak kisah segala bunyi yang terhasil kerana bilik ini adalah suaka buatnya, sebuah dimensi lain yang ayahnya tidak akan jejak masuk: seolah-olah segala bunyi dan aktiviti yang berlaku di dalam bilik ini, lenyap dari ayahnya — dia keluarkan sebatang kapur yang sempat dicuri dari kelas pagi tadi.

Danish terus melukis sebuah bulatan dengan kapur, sebelum dia melakar sebuah pentagram pula di dalamnya. Setiap bucu pentagram itu mengenai garisan bulatan. Kemudian, pada kelima-lima bucu pentagram, Danish mendirikan lima batang lilin yang diambilnya tadi. Setiap satu bucu, dia dirikan satu batang lilin. Dia mengambil pemetik api tadi lalu menghidupkan setiap lilin tersebut. Cahaya api membunuh kegelapan.

“Berdoa itu boleh diibaratkan sebagai lilin yang menyala di dalam ruang yang gelap.” Ustazah yang mengajar Danish pernah berkata di dalam kelas beberapa bulan yang lalu. “Apabila kita berdoa, ia seolah-olah akan menerangkan jalan yang benar kepada kamu, agar kamu dapat berjalan lurus, mendekati Allah. Dan Allah suka akan hamba-hamba-Nya yang cuba mendekati dengan-Nya melalui doa-doa. Lalu Allah akan perkenankan doa hamba itu.”

Apabila mendengar itu, Danish tidak pernah tinggalkan solat. Dia solat pada awal waktu. Dia akan sujud lama, kerana kata ustazah itu juga, doa yang paling mustajab ialah berdoa sewaktu sujud terakhir. Dia akan merintih, berdoa sehingga berjuraian air mata setiap kali usai solat. Malah langit malam yang hitam itu juga selalu menjadi saksi, tatkala dia masih duduk berteleku di atas sejadah, hingga lewat malam, berdoa kepada Allah. Dan hanya satu sahaja permintaan kepada-Nya.

“Setiap kata-kata yang keluar daripada mulut mak ayah kamu adalah satu doa.” Begitulah kata-kata ustazah itu lagi. “Dan doa daripada mak ayah adalah antara doa yang paling mujarab. Jadi berbuat baiklah dengan mak ayah kamu.”

Danish tidak boleh mengharapkan doa daripada ibunya, orang yang paling disayangi di dunia, kerana wanita itu sudah lama meninggal dunia. Ayahnya pula… Danish mengeluh setiap kali dia teringat akan ayahnya. Matanya dipejam dan mulutnya mula terkumat-kamit. Danish menumpukan sepenuh perhatian pada segalanya — pada bulatan dan pentagram, pada nyalaan lilin, dan juga pada setiap patah kata yang diungkapkan dalam bentuk bisikan.

“Aku jijik tengok muka kau. Kau pergi! Kau jangan berani tunjuk muka kau depan aku lagi, anak sial! Kalau kau berani tunjuk muka kau depan aku, aku pecah-pecahkan muka kau!”

“Ya Allah ya Tuhanku, aku ini hamba-Mu yang banyak dosanya. Yang banyak kelemahannya.”

“Kau memang anak tak guna! Kau lelaki, kenapa kau nak jalan berlenggang macam perempuan? Kau nak jadi pondan ke, hah?! Kalau kau tak ubah perangai sotong kau ni, aku anggap kau tak pernah wujud!”

“Ya Allah ya Tuhanku, Kau buatkanlah aku seperti budak lelaki lain. Aku tak mahu jadi lembut lagi, ya Allah…”

“Kenapa kau tak boleh jadi normal macam budak lelaki lain? Kenapa kau kena jadi lembut macam ni? Kenapa kau suka malukan aku? Hah?!”

“Aku mahu jadi normal macam kawan-kawan aku, ya Allah.”

Dan Danish berasa Tuhan tak pernah mendengar doa-doanya. Dia masih lagi budak lembut. Feminin. Sotong. Walaupun dia tidak pernah minta untuk menjadi begini, Danish masih tidak boleh menghilangkan sifatnya. Bagaimana mahu mengubah sesuatu yang memang sudah menjadi fitrahnya? Difikirkan Tuhan tidak mendengar, Danish mencari cara lain — entiti lain — yang mungkin boleh memakbulkan hajatnya.

Mantera sudah habis dibaca. Buat beberapa saat, Danish hanya mendengar degupan jantungnya sahaja, yang menghentam-hentam dada pada waktu ini. Peluh mengalir, sama seperti lelehan lilin mencair. Tiada apa-apa berlaku. Danish hampa.

Tiba-tiba dia ternampak pokok di luar rumahnya bergoyang seganas-ganasnya. Angin bertiup kencang seperti ada ribut di luar. Udara di dalam biliknya masih statik, masih tenang, namun kelima-lima lilin di hadapannya tiba-tiba terpadam. Asap nipis meliang-liuk naik ke udara. Jantung Danish berdegup dengan lebih hebat. Darahnya seperti meruap hilang ke udara apabila terdengar satu suara yang nyaring dan garau pada masa yang sama — seperti bunyi dengungan mesin bergabung dengan bunyi cakaran kuku pada papan hitam — memanggil namanya.

Kelihatan sepasang kaki kambing bertelapuk yang besar melangkah keluar daripada kegelapan, diiringi deraman yang sangat panjang.


Pengarang :