Anggota polis membawa bekas mengandungi rangka dipercayai milik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di kawasan belukar berhampiran tangki air di Taman Bukit Zamrud, Seremban pada 7 April 2022. Foto BERNAMA.
AGENDA JENAYAH

Dua beranak didakwa bunuh kanak-kanak lima tahun dan wanita

SEREMBAN, 13 APRIL: Dua beranak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun pada Mac lepas.

Tertuduh Khalid Redza Shuib, 41, bersama  anak perempuannya, Nurshafwani Khalid Redza, 18, didakwa secara bersama menyebabkan kematian Hanan Hasrul Izwan, 5, di sebuah rumah di Jalan Temiang, Taman Nee Yan, di sini, kira-kira pukul 7 malam pada 3 Mac lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kedua-dua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Mohd Firdaus Salleh.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama  Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara selama 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Di Mahkamah Majistret berasingan di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin, Khalid Redza yang juga seorang peniaga turut didakwa atas pertuduhan membunuh Meriammah Abdullah Basam, 29, di lokasi sama antara 15 Mac hingga 17 Mac lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 17 Mei sebagai tarikh sebutan semula bagi kedua-dua kes itu.

Dalam pada itu, Khalid Redza turut mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Siti Syarifah Aibiddin, 35, di lokasi sama antara 1 Dis 2021 hingga 23 Mac lepas, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara hingga tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, peguam pemerhati, Datuk Haniff Hassan yang mewakili keluarga Siti Syarifah memohon kepada mahkamah untuk menetapkan satu tarikh bagi membolehkan kenyataan impak mangsa dikemukakan terlebih dahulu sebelum hukuman dijatuhkan ke atas tertuduh.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan menetapkan 27 April sebagai tarikh sebutan semula untuk tujuan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zainul Hashim.

Di Mahkamah Sesyen, bapa kepada dua anak itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan sengaja mendatangkan cedera parah dengan menyimbah air panas terhadap Siti Syarifah hingga melecur di lokasi dan tarikh yang sama serta mengabaikan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan di lokasi sama antara 1 Dis 2020 hingga 23 Mac lepas.

Sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama 20 tahun dan denda atau sebat serta Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abu Hassan dan Hakim Rushan Lutfi Mohamed menetapkan 17 Mei ini untuk sebutan semula selain tiada jaminan ditetapkan bagi kesemua lima pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Terdahulu, Khalid Redza bersama anak perempuan dan abangnya berusia 44 tahun ditahan selepas terkait dengan penemuan mayat seorang wanita dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Lama Bukit Putus, pada 20 Mac lepas disusuli penemuan cebisan rangka kanak-kanak perempuan dalam belukar di Taman Bukit Zamrud, pada 7 April lepas serta terbaru kes penderaan wanita dan anak lelakinya.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Nanda Maarof memaklumkan, tiada tindakan pendakwaan dikenakan terhadap abang lelaki itu dan dia dibebaskan dengan bon jaminan mahkamah.

— BERNAMA

 


Pengarang :