Seorang kanak-kanak menunjukkan hajatnya sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi. Foto Facebook Wong Siew Ki
ADNSELANGOR

DUN Balakong bantu kabul hajat kanak-kanak sempena Aidilfitri

SHAH ALAM, 14 APRIL: Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong menganjurkan program ‘Indahnya Berkongsi’ bagi membantu menunaikan hasrat kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan.

Wakil rakyat Wong Siew Ki berkata program itu seiring dengan bulan Ramadan yang menggalakkan masyarakat berkongsi kebahagiaan, kasih sayang dan rezeki sesama insan.

“Sehingga kini kita telah menerima 100 permohonan daripada penduduk Balakong dengan hajat yang berbeza namun rata-ratanya lebih tertumpu untuk membeli kelengkapan menyambut Aidilfitri.

“Oleh itu, pihak kami ingin menunaikan hajat mereka dan pada masa sama mengalu-alukan orang ramai yang ingin menyumbang bagi menunaikan hajat anak-anak Balakong di bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi rakaman video berdurasi lebih seminit bertajuk Semangat Balakong di Facebooknya semalam.

Justeru, mana-mana individu yang berhasrat untuk berkongsi bersama boleh hubungi Pusat Khidmat DUN Balakong menerusi talian 03-9076 0331.


Pengarang :