ADN Bandar Baru Klang Dato’ Teng Chang Khim (tengah) menyampaikan cek bernilai RM10,000 kepada Pengetua Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Sultan Hisamuddin, Mohamad Rahman Sulaiman (kanan) di Taman Bijaya, Klang pada 28 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILANSELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Bandar Baru Klang hulur RM10,000 bantu SAMT Sultan Hisamuddin terbakar

KLANG, 28 APRIL: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang menyumbang sejumlah RM10,000 kepada Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Sultan Hisamuddin di Taman Bijaya di sini.

Wakil rakyat Dato’ Teng Chang Khim berkata bantuan itu adalah salah satu inisiatif untuk meringankan beban sekolah selepas insiden kebakaran baru-baru ini.

“Saya bersimpati dengan nasib yang menimpa sekolah ini dan 117 pelajar yang terkesan akibat kebakaran lalu, syukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku.

“Justeru, saya bersetuju untuk berikan sedikit bantuan kewangan kepada pihak sekolah dan semoga sumbangan ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan dan serahan sumbangan kepada Pengetua SAMT Sultan Hisamuddin, Mohamad Rahman Sulaiman.

Tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Sultan Hisamuddin hangus terbakar di Taman Bijaya, Klang pada 28 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILANSELANGORKINI

Chang Khim yang juga EXCO Kerajaan Negeri berharap Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dapat meneliti segera sebarang bentuk bantuan kepada sekolah terbabit.

“Saya berharap pihak Jais dapat meneliti apa sahaja bentuk bantuan yang munasabah untuk membaik pulih kerosakan sekolah ini akibat kebakaran,” katanya.

Pada 24 April, sekitar jam 9.30 malam tingkat tiga asrama lelaki di SAMT Sultan Hisamuddin terbakar sehingga memusnahkan 70 peratus asrama itu.

Difahamkan, ketika kebakaran semua pelajar terbabit sedang menunaikan solat tarawih di surau.


Pengarang :