Ahli Dewan Negeri Permatang Rozana Zainal Abidin menyampaikan baucar Jom Shopping sempena Aidilfitri kepada salah seorang penerima di Pasaraya Best Mart, Pasir Penambang. Foto Facebook Rozana Zainal Abidin
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Permatang agih 500 baucar beli-belah sempena Aidilfitri

SHAH ALAM, 7 APRIL: Sebanyak 500 baucar Jom Shopping sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang akan diagihkan kepada penerima yang layak pada minggu depan.

Wakil rakyat Rozana Zainal Abidin berkata pemberian baucar bernilai RM100 itu akan diberi kepada golongan berpendapatan rendah dan individu yang belum pernah menerima inisiatif tersebut.

“Baucar ini akan diagihkan melalui ketua kampung kepada individu yang layak dengan mengambil kira mereka bukan penerima manfaat Kad Kasih Ibu Smart Selangor dan Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas bagi kelahiran April.

“Malah, bantuan ini juga sedikit sebanyak dapat meringankan beban penerima dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi. Baucar boleh ditebus di Pasaraya Best Mart, Pasir Penambang mulai 16 April,” katanya kepada SelangorKini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan lebih RM2 juta diagih tahun ini menerusi baucar beli-belah bagi membantu golongan tertentu menyediakan keperluan hari raya.

Skim berkenaan diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan menyasar golongan berpendapatan rendah sebagai inisiatif jangka panjang membela kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Serahan bantuan dibuat melalui pusat khidmat masyarakat di kawasan masing-masing mengikut komponen utama kaum dan sambutan perayaan.


Pengarang :